Sepanjang hujung minggu lalu, tular perdebatan dalam kalangan netizen mengenai segelintir artis yang dilaporkan meminta kerajaan memberi bantuan khusus buat mereka ketika musim penularan wabak COVID-19 ini.

Antara yang terawal merayu untuk kerajaan memberikan bantuan kepada penggiat seni adalah penyanyi Black yang mengakui pendapatannya terjejas teruk dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Persembahan dan aktiviti seni semua dibatalkan atau ditunda.

“Seperti saya, pada bulan ini sahaja, program televisyen (TV), konsert dan pelbagai lagi, semuanya ditangguhkan. Selagi semua itu ditunda, kami tiada pendapatan,” katanya kepada Berita Harian.

Selain Black, penyanyi Tomok juga turut tampil membuat kenyataan mengenai perkara itu di laman Instagram dan senada dengan Black agar kerajaan memberi bantuan khusus kepada anak seni.

Malah beberapa artis lain turut dilihat bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan Tomok di laman Instagramnya melalui komen-komen yang ditinggalkan.

Capture

Bagai mencurah minyak dalam api

Sudah pasti kenyataan artis-artis ini hanya membangkitkan kemarahan netizen memandangkan bukan mereka sahaja yang terjejas dengan keadaan semasa tapi hampir sebahagian besar turut mengalami tempias daripada Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Sebagai bukti, sehingga hari ini sahaja kata kunci ‘artis Malaysia’  telah mencecah lebih 100,000 ciapan dan menjadi ‘trending’ dalam kalangan pengguna Twitter di Malaysia.

Perkara itu belum lagi ditambah dengan laporan-laporan media yang dilihat semakin rancak melaporkan isu tersebut dan hingga pada suatu ketika dilihat berjaya mengalihkan tumpuan masyarakat kepada isu sebenar yang dihadapi – COVID-19 dan pematuhan PKP.

Sikap rakyat Malaysia yang suka membaca boleh disifatkan sebagai sesuatu yang terpuji terutama dengan pelbagai kemudahan teknologi yang sedia ada. Setiap laporan yang dikeluarkan pasti sahaja akan dikongsikan.

Membaca amalan mulia

Bagaimanapun, dalam isu artis meminta bantuan khas ini adalah lebih baik jika kita memahami isu yang dilaporkan dengan berhemah dan tidak hanya mengeluarkan pandangan berdasarkan tajuk-tajuk berita yang terbit di media sosial.

Sebagai pemula, kenyataan pertama yang dikeluarkan Black dalam laporan Berita Harian adalah pada Rabu, 25 Mac 2020. Penting untuk melihat tarikh kenyataan ini dikeluarkan kerana ketika ini Pakej Rangsangan Ekonomi masih lagi belum diumumkan ketika itu.

Untuk rekod, pakej rangsangan ekonomi yang menggariskan pelbagai bantuan kepada segenap lapisan masyarakat di negara kita hanya diumumkan pada Jumaat 27 Mac 2020. Beberapa hari selepas kenyataan Black dikeluarkan.

Jadi, secara logiknya ia adalah sesuatu yang betul untuk Black sebagai penyanyi bersuara dan meminta agar kerajaan memberikan bantuan kepada penggiat seni kerana ketika itu masih belum diumumkan sebarang bantuan buat artis dan seluruh rakyat Malaysia.

Malah dia dalam temubual tersebut juga hanya mengingatkan agar kerajaan tidak meminggirkan mereka dan tidak menyebut bantuan khas untuk penggiat seni selain menjelaskan beliau sudah mempunyai simpanan bagi menghadapi situasi sekarang.

Bercakap untuk krew dan artis senior

Jika melihat kepada kenyataan yang dikeluarkan Tomok pula, beliau dilihat lebih kepada bercakap untuk golongan anak seni yang kurang mendapat perhatian sebelum ini seperti krew belakang tabir dan artis-artis senior yang dikatakan tidak mendapat bayaran yang tinggi dan tidak mempunyai kerja tetap.

“Golongan anak seni juga tidak terkecuali daripada menerima tamparan hebat ini di mana segala aktiviti seni kami tidak kira penyanyi,pelakon,pemuzik,krew penerbitan,produksi drama atau filem semuanya terjejas,ditunda atau terpaksa di batalkan.

“[…] begitu juga dengan artis-artis senior tanahair yang kurang bernasib baik semoga pihak berwajib dapat membantu lagenda-lagenda kita ini,” jelasnya di Instagram.

Jika melihat kepada kenyataan yang dikeluarkan ini, apa yang cuba disampaikan adalah agar kerajaan tidak meminggirkan anak-anak seni dan mewakili krew belakang tabir yang bekerja bersama dengan mereka selama ini selain daripada artis-artis senior.

Mungkin bagi artis muda ia tidak menjadi masalah kerana mereka masih boleh bergiat aktif melalukan aktiviti seni di media-media sosial dan membuat persembahan melalui platform sedia ada, namun bagi mereka yang terlibat di belakang tabir pastinya sedikit sukar.

Namun, perkara itu sepatutnya tidak menjadi masalah kerana kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan pelbagai inisiatif dalam pakej rangsangan ekonomi yang akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang anda.

Baca perkongsian kami sebelum ini mengenai Bantuan Prihatin Nasional yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi baru-baru ini. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Empat Bantuan Prihatin Nasional Secara ‘One-Off’ Yang Anda Perlu Tahu

Ini Cara Semak Dan Memohon Pembayaran Bantuan Prihatin Nasional Mulai 1 April

Sumber