Merdeka 118 bakal menjadi menara kedua tertinggi di dunia dan telah menewaskan Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) sebagai mercu tanda Malaysia. Merdeka 118 mempunyai ketinggian 678.9 meter apabila ia siap pada tahun hadapan dan bakal menempatkan pejabat, kedai, masjid, dek pemerhati panorama, hotel dan juga pusat membeli-belah.

Tidak pasti mengapa negara ini memerlukan satu lagi menara tinggi, tetapi kebanyakan rakyat Malaysia melihat ia sebagai simbol egois para pemimpin politik.

Pada majlis perasmian yang berlangsung pada Selasa lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan projek ini sebagai “menara ikonik untuk masa depan.” “Ini bukan sahaja pencapaian hebat dalam bidang kejuruteraan,” katanya kepada pemberita. “Tetapi ia juga mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara moden dan maju.”

Dibina di sekitar kawasan bersejarah, bangunan pencakar langit ini terletak di bahagian hadapan Stadium Merdeka, tempat di mana Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan pada tahun 1957. Ismail Sabri, yang dinamakan sebagai perdana menteri pada Ogos lalu, berkata bahawa reka bentuk menara ini “mencerminkan imej” Tunku Abdul Rahman yang mengangkat tangan sewaktu melaungkan merdeka buat Tanah Melayu lebih enam dekad lalu.

Bagaimanapun, dalam pada Ismail Sabri menyatakan bahawa beliau ‘tidak sabar’ untuk melihat bangunan ini siap. Kebanyakan rakyat Malaysia sudah mula mempersoalkan keperluan menara tersebut.

Rakyat Malaysia seolah keliru dengan fokus asal para pemimpin di Malaysia. Ditengah-tengah kenaikan kos sara hidup, infrastruktur awam yang tidak lengkap, gaji minimum yang rendah dan harga hartanah yang melambung tinggi, tiba-tiba rakyat Malaysia dihidangkan dengan bangunan pencakar langit baharu.

Persoalan ini sebenarnya bukan baru berbunyi, sewaktu ia diumumkan pada 2010 oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lagi ramai yang menentang keperluan untuk membina satu lagi menara. Namun Najib Razak dalam kenyataannya kepada The Star mempertahankan pembinaan menara tersebut.

Salah seorang pengguna Twitter menyatakan bahawa dia lebih gembira jika wang yang dilaburkan untuk Merdeka 118 ini digunakan untuk membina lebuh raya di negeri Sabah dan Sarawak. Manakala seorang lagi pengguna Twitter menyatakan bahawa Malaysia tidak perlukan menara tinggi, cukup hanya infrastruktur yang lebih baik dan kurang kesesakan jalan raya.

Kini, projek bernilai 5 bilion ringgit ini akan dibuka kepada orang ramai pada suku akhir 2022, menurut Permodalan Nasional Bhd. Menara ini akan menempatkan Hotel Park Hyatt pertama di Malaysia dan dek pemerhati tertinggi di Asia Tenggara selain pusat membeli-belah, muzium dan juga masjid. Ia akan berada di belakang Burj Khalifa sebagai menara kedua tertinggi di dunia.

Bakal jadi kedua tertinggi dunia, lihat inspirasi unik di sebalik menara Merdeka 118. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Bakal Jadi Kedua Tertinggi Dunia, Lihat Inspirasi Unik Di Sebalik Menara Merdeka 118

Exchange 106 Bakal Menjadi Bangunan Tertinggi Malaysia Menjelang Tahun Hadapan

‘Buang Masa Dan Rugikan Duit’ – Rakyat Malaysia Tak Setuju Jika PLKN Dihidupkan Semula