Antara doa yang dimakbulkan dan diizinkan olehNya.

Sewaktu di sekolah rendah lagi, saya agak pemalu. Malu bukan sebab apa, sebab saya ada ketumbuhan di hidung bahagian luar. Ia jelas kelihatan. Letih juga berubat. Bila sapu dengan ubat seperti asid, sakit menusuk hidung. Apabila hampir hilang ia tumbuh kembali. Adakala ia semakin membesar.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Maka saya agak berputus asa ketika itu. Adakala saya berhenti berubat. Ia tidak boleh dipotong begitu sahaja kerana akan menyebabkan pendarahan teruk walaupun kecil. Kata doktorlah.

Maka saya cuba cara lain iaitu berdoa. Waktu itu rasanya darjah 4 atau 5 rasanya. Maka setiap kali selesai solat saya akan berdoa.

“Ya Allah, Engkau sembuhkanlah Aku. Engkau buangkanlah ketumbuhan yang ada di hidungku ini”. Begitu setiap hari dan selesai setiap solat. Pengharapan yang tinggi diletak padaNya.

Dipendekkan cerita pada satu hari, saya dan rakan bermain besball di sekolah agama sebelah petang. Tiba-tiba rakan saya meluru ke arah saya dan muka saya tersembam ke atas lantai yang kasar seperti jalan tar. Muka saya terseret dan luka agak teruk. Separuh muka jugalah. Balik rumah cuba menyorok tetapi ‘kantoi’ juga. Maka ibu saya membebel marah. Bukan main sakit dan pedih lagi apabila terkena air. Ayah pun hantar pergi klinik. Maka saya tidak ke sekolah 2 hari.

Apabila hampir sembuh pula, saya agak terkejut. Eh, mana ketumbuhan saya di hidung. Allah Maha Besar. Bukan main gembiranya saya ketika itu. Beberapa kali lihat di cermin.

Maka teringat semula doa-doa saya. Mungkin doa saya tidak minta secara khusus bagaimana untuk sembuh. Tetapi Allah beri dengan cara begitu. Saya tidak kisah dan sangat bersyukur. Ia sungguh melekat disanubari hati saya walaupun telah sekian lama.

Nikmat mana yang kita mahu dustakan lagi. Semuanya hanya dengan kuasa dan IzinNya.