Saya seorang suami kepada seorang jururawat yang bekerja dalam bidang rawatan dan penjagaan kesihatan individu yang sakit.

Tidak kira gender, status, pangkat, keturunan, bangsa atau sebagainya, seorang jururawat menggunakan kepakaran mereka dalam bidang kejururawatan untuk membantu pesakit pulih daripada kecederaan atau kesakitan sepenuhnya.

Jururawat adalah satu kerjaya profesional.

Walaupun ada sesetengah pihak atau individu berpandangan sinis atau mengkritik kualiti mahupun tugasan yang dikendalikan oleh seseorang jururawat, mereka sebenarnya sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan hospitaliti terbaik kepada semua lapisan masyarakat.

Menyulam Cinta Seorang Jururawat

Selamat hari jururawat, isteri!
Selamat hari jururawat, isteri!

Menyulam cinta dan berkahwin dengan seorang jururawat memerlukan seorang lelaki atau suami lebih memahami tugas seorang jururawat.

Dalam rutin kehidupan harian saya bersama isteri dan anak-anak, banyak pengalaman yang telah saya pelajari berkaitan tanggungjawab isteri saya kepada masyarakat.

Di samping itu, saya belajar menjadi seorang suami dan ayah yang boleh melaksanakan kerja-kerja rumah seharian, seperti menjaga anak, memasak, mengemas, membasuh pakaian, melipat pakaian dan sebagainya.

Sebagai seorang ayah juga, saya cuba memberikan kefahaman kepada anak-anak mengenai pekerjaan Uminya yang mempunyai jadual kerja mengikut “shift”.

Sebagai seorang jururawat, isteri saya tidak terlepas daripada jadual bekerja pada waktu malam bermula jam 9.00 malam hingga 7.00 pagi keesokan harinya. Maka, anak saya akan tidur bersama saya kerana saya memang tidak menghantar anak ke rumah pengasuh kecuali di waktu siang sahaja.

Bertolak ansur dan saling memahami adalah kunci kebahagian rumah tangga buat mereka yang mengahwini seorang jururawat. Ramai lelaki yang berkahwin dengan jururawat masih lagi dapat mengekalkan kebahagian rumah tangganya disebabkan pemahaman mereka mengenai perkara ini.

Cabaran Mengahwini Seorang Jururawat

Gambar hiasan. SDK
Gambar hiasan. SDK

Seperti yang ditulis di atas, tugas seorang jururawat adalah satu tugas yang berat dan mencabar. Cabaran ini datang sekali sebagai pakej mengahwini seorang jururawat.

Jangan terperanjat, kerana ini adalah perkara-perkara yang mungkin anda alami apabila berkahwin dengan seorang jururawat:

1. Bila ada anak kecil, isteri kerja shif malam 2/3 hari berturut-turut. Suami kena bangun untuk buat susu anak 2 hingga 3 kali semalam.

2. Kadang-kadang isteri jururawat ini dia mahukan perhatian suami untuk meluahkan perasaan dia apa yang berlaku di tempat kerjanya. Kita kena jadi pendengar yang baik. Walaupun kadangkala, ianya mungkin hal remeh temeh.

3. Kerja nurse banyak berdiri menyebabkan isteri selalu lenguh-lenguh. Jadi suami kena ambil inisiatif untuk urut kaki atau keluarkan sedikit duit untuk hantar dia ke spa. Dia akan sangat menghargainya.

4. Kalau kita hendak bercuti, pastikan kita beritahu awal sekurang-kurangnya 2 minggu lebih awal. Agar isteri boleh mohon cuti lebih awal. Ini kerana jadual nurse keluar 2 minggu sekali.

5. Jangan berharap isteri boleh cuti terutama pada Hari Raya Aidilfitri. Kalau hari raya pertama isteri kerja pagi, kenalah hantar anak-anak ke rumah saudara mara kita yang berdekatan supaya dapat Solat Sunat Aidilfitri. Kalau jauh dari keluarga, suami kenalah jaga anak. Pengalaman ini pernah saya hadapi semasa duduk jauh dari sanak saudara. Jaga anak 2 hari raya berturut-turut sebelum isteri dapat bercuti raya.

6. Selalu ada isu negatif yang diviralkan oleh pihak tidak bertanggugjawab mengenai jururawat. Dipersendakan, dibuat bahan jenaka oleh netizen mengenai jururawat. Itulah yang sering saya ingatkan kepada isteri dan berikan dorongan supaya beliau tidak berasa kecewa, marah atau geram; dan sentiasa bersabar. Anggaplah itu sebagai asam garam dalam kehidupan seorang jururawat.

Bebanan Berkahwin Dengan Seorang Jururawat?

Penulis, Mohd Azrin bersama keluarga.
Penulis, Mohd Azrin bersama keluarga.

Saya tidak rasa ada bebanan sangat bila berkahwin dengan seorang jururawat.

Pada pandangan saya, mungkin ia sama sahaja dengan bebanan berkahwin dengan seorang wanita yang bekerja di bidang keselamatan seperti polis, bomba, tentera dan sebagainya.

Seandainya kita benar-benar memahami pekerjaan isteri kita jururawat itu, sudah tentu kita tidak merasakan ia satu bebanan pada kita.

Saya tidak merasakan beban kerana beranggapan apa yang saya laksanakan seperti kerja-kerja rumah ialah ganjaran pahala BESAR bagi saya yang diberikan oleh Allah S.W.T.

Mari kita fikirkan inilah yang dikatakan seorang lelaki atau suami maskulin bagi isteri kita.

Di sini saya kongsikan tip menjadi seorang suami yang COOL dan CHILL kepada isteri kita seorang jururawat.

1. Berkongsi Perasaannya

Adakalanya tugasan jururawat ini menduga emosi kerana berhadapan dengan dengan pelbagai ragam manusia semasa dalam tugas.

Dan dia ingin luahkan perasannya kepada siapa lagi kalau bukan kita sebagai suami.

Oleh itu, suami boleh menunjukkan perasaan simpati dan empati kepadanya.

Berikan dia kata-kata semangat dan pujukan supaya perasaan dia menjadi tenang semula.

Mengambil berat tentang perasaan isteri membuatkan isteri berasa dihargai.

2. Menjadi Pendengar Terbaik

Selepas balik dari kerja, di dalam kereta mahupun di rumah, pasti isteri akan bercakap mengenai kerjanya.

Apa yang berlaku, hal itu, hal ini sama ada kita bertanya ataupun tidak.

Bukan apa dia hendak meluahkan perasaannya. Kekecewaan atau kegembiraan dia.

Oleh itu, tolong jangan melakukan benda lain semasa dia sedang berbicara dengan kita.

Seandainya ada gangguan seperti telefon, biarkan dahulu, atau sekiranya panggilan telefon penting untuk diangkat, minta dia tunggu sekejap, selepas itu minta sambung kembali perbualannya itu.

Takkan kita hendak biarkan dia meluahkan perasaannya kepada lelaki lain kan?

3. Hantar & Ambil dari Tempat Kerjanya

Pada 2-3 tahun lepas, kebiasaannya saya menghantar dan menjemput isteri dari tempat kerjanya.

Selepas itu , dia memandu sendiri ke tempat kerja.

Sekali-sekala, saya akan menghantar dan menjemput dia semasa saya cuti hujung minggu dan membawa anak-anak sekali.

Sedikit sebanyak dapat menghilangkan kepenatan dia.

4. Meraikan Hari Jururawat

Jururawat juga mempunyai hari sambutan sedunia iaitu Hari Jururawat.

Ia disambut pada 12 Mei (semalam) setiap tahun bagi memberikan penghargaan kepada jururawat yang telah melaksanakan kerjanya dengan penuh dedikasi.

Jadi ucapkanlah Selamat Hari Jururawat kepada isteri kita, jikalau dapat memberikan hadiah kepadanya pun sudah tentu lebih baik.

5. Lakukan Kerja Rumah

Semasa kita bercuti terutama pada hujung minggu, jikalau dia kena bekerja, kita uruskan kerja rumah pula.

Tiada masalah untuk membuat kerja rumah seperti mencuci pakaian, memasak, menjaga anak dan lain-lain kecuali jikalau kita ada hal lebih penting.

Saya rasa sangat berpuas hati walaupun kepenatan melakukan kerja rumah ini dengan ragam anak, memikirkan masak apa, sidai pakaian lagi.

Tapi bila ikhlas dan tidak merungut, semuanya akan menjadi OK.

6. Cuti dan Melancong

Bukan senang isteri dapat cuti pada masa yang suami inginkan. Apatah lagi bila tiba musim perayaan ataupun cuti hujung minggu hari Sabtu dan Ahad.

Namun kita boleh membuat perancangan bila hendak bercuti dengan si dia dan anak-anak.

Kadang-kadang kita harus mengambil cuti rehat yang majikan peruntukkan untuk kita.

Bawalah isteri dan anak-anak melancong. Paling tidak pun pergi makan-makan tempat yang popular.

7. Doa

Suami haruslah mendoakan isteri semoga terus dilindungi Allah dari perkara-perkara tidak baik semasa bekerja.

8. Kejutan Telefon/SMS

Telefon/SMS ayat ‘Abang cintakan kamu. Kerja baik-baik ya.’ Ringkas tapi pasti buat isteri tersenyum.

Sedikit sebanyak untuk menghilangkan stress dia.

Aku, 'Suami Si Jururawat'.
Saya, ‘Suami Si Jururawat’.

Itulah sedikit sebanyak yang dapat dikongsikan oleh saya, ‘Suami Si Jururawat’.

Bagi pembaca yang terdiri daripada suami jururawat pasti bersetuju dengan saya. Bagi yang tidak, hendak buat macam mana.

Bagi pembaca yang ingin berkahwin dengan jururawat, semoga tip-tip ini dapat membantu sedikit sebanyak.

Bagi yang sudah ada seorang ‘awek’ jururawat, kalau tidak boleh berkorban, baik lupakan. Carilah yang lain..

BACA: Bagaimana Jururawat Ini Memohon Kerja Di Riyadh, Arab Saudi Dan Kisah Di Sebaliknya