Meskipun terpaksa bangun awal pagi untuk membaca nota sebelum ke kelas dan mencuri masa untuk menjaga peniagaan, namun ia tidak menjadi alasan untuk gadis ini tidak berjaya dalam pengajiannya.

Pelajar Sarjana Komunikasi Korporat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurfadilah Zulkaply akui usaha untuk memulakan langkah pertama bukan mudah apatah lagi beliau tiada pengalaman berniaga sebelum ini.

“Mulanya, setelah berhenti kerja di Sarawak, kebetulan saya dapat tawaran sambung belajar. Jadi, saya fikir, tak mungkin pada usia sekarang saya masih mahu mengharap wang belanja daripada mak dan ayah.

“Jadi, di UPM saya intai peluang dan kebetulan pihak universiti menawarkan pelajar-pelajar untuk menyertai jualan sempena hari konvokesyen, tahun lalu. Di situlah perniagaan saya pertama kali bermula,” katanya kepada Sinar Online.

Beliau bersama adik lelakinya dan dua lagi rakannya melakukan ‘brain storming’ sebelum akhirnya memilih untuk menjual kerepek jagung yang disiram dengan sos daging serta keju diberi nama ‘Cheesy Beef Nachos’.

Menurut Nurfadilah, beliau ditawarkan untuk menyertai Trading Entrepeunership Competition (Tradec) oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) setelah pihak universiti melihat sambutan yang diterima produk Machos Nachos di pesta konvokesyen itu.

“Dari situ, saya mula serius untuk teruskan berniaga dan mengembangkan perniagaan ini. Sekarang, Machos Nachos sudah ada satu cawangan di Kota Tinggi, Johor yang diuruskan keluarga saya.

“Sementara yang di UPM, saya kendalikan sendirian tapi saya perlu bijak bahagi masa untuk pengajian. Insya-ALLAH saya akan teruskan perniagaan ini walau selepas tamat pengajian,” katanya yang tidak bercadang menaikkan harga meskipun harga ditawarkan jauh lebih rendah.

Tambahnya, Machos Nachos juga telah berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

Sumber