Soalan jenis Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) mula diaplikasikan pada murid sekolah rendah untuk melihat keupayaan mereka dapat mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat sesuatu keputusan serta permasalahan.

Bagaimanapun, adakalanya soalan-soalan KBAT yang diberikan kepada murid sekolah rendah terlalu sukar sehingga orang dewasa turut tidak dapat menjawabnya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Baru-baru ini netizen mempersoalkan salah satu soalan ‘Matematik Pemikiran Lateral’ di dalam salah satu buku latihan tambahan pelajar sekolah rendah.

Dalam soalan itu menceritakan seorang lelaki (Encik Malik) sedang berurusan di sebuah pejabat kerajaan dan bertanyakan mengenai angka dan harganya — angka 1 berharga RM20,000, angka 250 (RM8,000), angka 2500 (RM3,000) dan 2512 cumalah berharga RM300 sahaja.

Jawapannya, situasi yang sedang Encik Malik lalui ketika itu adalah beliau ingin membeli nombor plat kenderaan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).

Soalan yang ditanyakan dalam buku latihan itu mengundang pelbagai persepsi netizen. Ramai menyatakan jika orang dewasa pun menghadapi kesukaran untuk menjawab soalan itu, apatahlah murid-murid sekolah rendah.

Tambah netizen lagi, memang bagus mahu mewujudkan dan melahirkan pelajar yang mampu berfikiran secara kreatif dan kritis. Namun biarlah kena pada peringkat umur dan buatlah secara berperingkat.

Terdahulu Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, pernah berkongsi pandangan beliau mengenai rungutan segelintir ibu bapa yang menganggap silibus aras tinggi tidak sesuai diterapkan di peringkat berkenaan.

Beliau berpendapat sudah tiba masa untuk Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji keberkesanan KBAT yang diterapkan dalam silibus pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah rendah.