Terkini, orang-orang Greek terpaksa berdepan dengan undian awam yang akan dibuat sekali lagi bagi menentukan hala tuju negara Greece. Undian tersebut perlu dilakukan berikutan Perdana Menteri Greece meminta masa tambahan daripada pihak Troika. Sebelum kejadian ini berlaku, kerajaan Greece telah mencetuskan banyak urutan peristiwa yang sukar untuk ditangani. Kesan pengumuman untuk mengadakan undian awam dan penolakan oleh menteri kewangan zon euro telah menyebabkan rakyat Greece mengosongkan akaun bank mereka di hujung minggu yang lalu. Mereka takut dengan ketidakstabilan negara dalam pengurusan sistem kewangan di masa depan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Untuk membendung keadaan daripada menjadi lebih teruk, bank-bank tidak beroperasi pada hari Isnin (29 Jun 2015) dan dijangka sehingga selepas hari pengundian yang akan berlangsung pada 5 Julai 2015. Pengeluaran wang tunai di mesin ATM turut dihadkan kepada €60 sehari sahaja telah menyebabkan kekecohan berlaku. Sekatan drastik ini perlu dilakukan oleh kerajaan Greece bagi memastikan bank masih relevan dan mengekalkan Greece dalam zon euro.

Ramai orang beratur panjang di mesin-mesin wang tunai di seluruh negara ini boleh mengancam kestabilan negara dan mengganggu usaha menyelamatkan Greece sejak lima tahun yang lalu. Rakyat Greece sudah berada dalam kemurungan sejak beberapa tahun yang lalu. Kini keadaan Greece boleh menjadi lebih teruk sekiranya rundingan bailout gagal. Malah, seorang ahli politik Greek pernah menyatakan amaran tentang referendum (undian awam):

“Jika Perdana Menteri sendiri cuba untuk mempunyai rakyat-rakyat yang menghadapi dilema seperti itu… bank-bank Greek dan ekonomi Greek akan runtuh sebelum kita tiba ke pos mengundi… kerana kemungkinan rakyat-rakyat yang mengalami dilema sedemikian mungkin akan mengundi “tidak”.”

Ironinya, ahli politik itu ialah Perdana Menteri Greece sekarang iaitu Alexis Tsipras yang pernah mengkritik perdana menteri sebelumnya pada tahun 2011 tentang perbuatan melulu memanggil referendum pada perjanjian bailout (undian itu dibatalkan dan menyebabkan pemimpin itu kehilangan pekerjaannya). Kini, Tsipras yang mempunyai kuasa sebagai Perdana Menteri sedang berkempen; yang ternyata bertentangan dengan nasihatnya dulu.

Pengundian sama ada kerajaan perlu menerima atau menolak cadangan terkini pemiutangnya bagi memanjangkan bailout negara telah diumumkan oleh Tsipras pada Sabtu lalu, 27 Jun 2015. Undian akan dilakukan pada 5 Julai 2015 ini tetapi menteri kewangan zon euro telah menolak permintaan tambahan di dalam perjanjian bailout yang akan tamat pada hujung bulan Jun ini.

Alexis Tsipras, Perdana Menteri Greek.

Greek sudah tiada duit dan miskin. Pada tarikh perjanjian bailout Greece tamat (30 Jun 2015), negara tersebut berhutang dengan IMF sebanyak €1.5 billion ($1.7 billion). Sudah hampir pasti Greek tidak mampu membayarnya balik tanpa bantuan tambahan kewangan. Tetapi pihak IMF bersedia melambatkan penguatkuasaan klausa perjanjian sekiranya masih ada harapan untuk mencapai perjanjian yang boleh menyelamatkan Greece.

Jika sistem kewangan Greek gagal berfungsi, dan tiada bantuan dari institusi zon euro, satu cara sahaja untuk menghadapi keadaan ini iaitu kemungkinan mencetak lebih banyak matawang asal Greece sehingga boleh mengancam zon euro. Ini menunjukkan euro akan turut terkena tempias ke atas apa yang akan berlaku pada Greek.

Satu sumber wang tunai bank-bank Greek adalah daripada European Central Bank (ECB) yang dipanggil “emergency liquidity assistance”. Tetapi hari ini ECB akan membekukan sokongan pada paras semasa berikutan kegagalan rundingan bailout. Ini bermakna satu cara sahaja untuk mengekang aliran wang tunai dari bank-bank adalah dengan mengenakan kawalan modal yang baru.

Pemiutang Greece menyalahkan Greece kerana melanggar perundingan dan bantuan tidak akan datang tanpa perubahan drastik dari kerajaan Greek. Sementara itu, bank-bank tidak beroperasi dan tidak dibenarkan pemindahan wang yang banyak ke luar negara.

Penganalisa di kumpulan penyelidikan Teneo Intelligence, Wolfango Piccoli menyatakan Tsipras berkempen agar rakyat akan mengundi “tidak” melalui kempen berbau nasionalis-populis kerana kepimpinan Tsipras tidak mahu kerajaan menjadi boneka dengan campur tangan asing di dalam pentadbiran negara dan mahu menghalang penindasan yang dilakukan oleh pemiutang melalui syarat-syarat yang menekan rakyat Greece.

Tetapi dijangkakan majoriti orang Greek mahu berada di dalam zon euro. Menteri kewangan Greek, Yanis Varoufakis mengakui kepada wartawan bahawa ada kemungkinan yang sangat tinggi bahawa orang Greek akan undi “ya”. Ini bermakna rakyat menentang kehendak kerajaan.

Ini membuatkan kerajaan di dalam kedudukan yang sukar, dan hampir pasti memerlukan pengaturan semula kepimpinan atau pilihan raya baru. Pihak pembangkang pasti menggunakan poin barisan panjang yang panik di mesin wang tunai dan penutupan cawangan-cawangan bank sebagai satu tanda yang menunjukkan kerajaan sedang keluar dari zon euro ke arah kawasan yang tidak pasti.

Sebenarnya dua pilihan yang diberikan kepada rakyat Greece itu akan beri kesan yang besar ke atas perjalanan Greece yang seterusnya. Malah ada di kalangan rakyat keliru dan tidak faham dengan pilihan yang mereka ada. Greece terperangkap di antara perjanjian dengan pemiutang yang menekankan penjimatan dalam operasi negara dan kehendak rakyat untuk kekal berada di dalam zon euro.

Keadaan terkini menyebabkan masa depan kewangan orang-orang Greek tidak menentu. Dalam masa seminggu ini, mereka akan membuat pilihan yang akan menentukan hala tuju perjalanan ekonomi negara mereka. Kedua-dua pilihan itu membawa penyelesaian yang berbeza tetapi akan tetap memberikan kesakitan yang mendalam kepada orang-orang Greek yang sudah terseksa.

Sumber: Quartz

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram