Seorang ahli mafia telah ditahan di Caribbean setelah mempamerkan kebolehan memasak di laman YouTube. Di dalam video tersebut, dia bertindak menyembunyikan wajahnya tetapi secara tidak sengaja mempamerkan tatu khas yang ada di badannya.

Marc Feren Claude Biart, 53, menjalani kehidupan yang tenang di Boca Chica, Republik Dominika. Komuniti ekspatriat Itali menganggapnya sebagai “orang asing”, kata polis dalam satu kenyataan pada hari Isnin.

Biart hidup dalam pelarian sejak 2014, dia menjadi buruan pihak berkuasa Itali kerana menjual dadah jenis kokain di Belanda. Dia juga difahamkan mewakili puak Cacciola dari mafia Ndrangheta.

Melalui laporan The Guardian, seorang lagi ahli mafia Ndrangheta telah ditahan di Portugal Isnin lalu. Francesco Pelle, yang telah melarikan diri sejak 14 tahun lalu dan dianggap sebagai salah seorang mafia Itali yang berbahaya, dikesan di sebuah klinik di Lisbon di mana dia menerima rawatan untuk COVID-19.

Pelle adalah sebahagian daripada ahli Pelle ‘ndrina di Calabria dan merupakan individu penting dalam kejadian pergaduhan antara keluarga mafia Pelle-Romeo dan Nirta-Strangio yang terjadi di bandar San Luca sehingga menyebabkan enam orang terbunuh pada tahun 2007.

Pelle juga telah dituduh mengeluarkan arahan untuk membunuh Giovanni Nirta, salah seorang ketua mafia. Nirta selamat dari kejadian terbabit, namun isterinya, Maria Strangio, terbunuh dalam serangan itu. Manakala empat orang lagi, termasuk seorang kanak-kanak dilaporkan cedera.

Pada tahun 2019 pula, polis berjaya menahan seorang ahli mafia Camorra, Marco Di Lauro. Dia ditahan semasa sedang menikmati pasta dengan dua ekor kucing kesayangannya di sebuah apartmen di pinggiran Naples. Lauro juga merupakan buruan pihak polis dan telah melarikan diri selama 14 tahun.

Ndrangheta yang menjalankan operasi di Calabria telah dianggap sebagai salah satu kumpulan jenayah paling kuat di dunia kerana mempunyai kawalan terhadap sebahagian besar kokain yang memasuki Eropah. Ia telah memperluaskan kuasanya ke seluruh pelusuk dunia dan dianggap sebagai organisasi mafia terbesar di Itali.

Mafia ambil kesempatan, tawar makanan dan pinjaman tanpa faedah untuk rakyat Itali. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Mafia Ambil Kesempatan, Tawar Makanan Dan Pinjaman Tanpa Faedah Untuk Rakyat Itali

20 Fakta Menarik Tentang Mafia Jepun Yakuza. #17 Ahli Mereka Dilarang Keras Dekati Musuh Ini

Dijaga ‘Luzero’ Dan Makan Daging Kuda, Ringgo Fotograf Kongsi Saat Dipenjara Di Venezuela

Sumber