Kecoh di media sosial baru-baru ini apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah bertindak menukar nama Jalan Raja Laut 1 kepada Jalan Palestin. Bagi DBKL, ia dilihat sebagai satu tindakan bagi mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin.

Dilaporkan bahawa cadangan untuk mewujudkan Jalan Palestin di Kuala Lumpur telah tercetus semasa majlis Himpunan Hari Al-Quds sedunia yang diadakan di Dataran DBKL pada 26 hingga 31 Mei 2019.

Dan pada 26 September lalu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali telah merasmikan penukaran nama Jalan Raja Laut 1 kepada Jalan Palestin.

“Menamakan semula jalan melambangkan sokongan Malaysia untuk perjuangan rakyat Palestin menentang penindasan dan akhirnya, membentuk negara Palestin,” kata Datuk Nor Hisham Dahlan kepada Malaysiakini.

Namun bagi netizen, ini merupakan langkah kebelakang apabila melupakan jasa Raja Laut yang menjadi ketua masyarakat Melayu di Kuala Lumpur pada tahun 1880 dan antara individu yang bertanggungjawab menyelesaikan banyaknya masalah yang timbul pada ketika itu.

“Siapa Raja Laut? Mesti seorang yang penting dan berbakti kepada negara. Sebab itu nama diabadikan sebagai nama jalan. Mungkin ada cara lain yang lebih baik untuk tahap kesedaran mengenai isu Palestin,” kata Awen Romeli di laman Twitter.

Manakala Iyzat Hamdan di dalam ciapannya berkata, “Raja Laut ini pembesar Selangor dulu dan dia adalah orang yang bertanggungjawab menubuhkan sekolah melayu pertama di Kuala Lumpur.

“Sayangnya telah ditukar ke Jalan Palestin. Punya banyak lagi jalan-jalan baru. Jalan ini jugak nak tukar nama. Ini sejarah individu penting yang mencorakkan sejarah Kuala Lumpur.”

Asyraf Zakari pula mempersoalkan tindakan DBKL menukar nama Jalan Raja Laut kepada Jalan Palestin sebagai satu tindakan yang tidak melambangkan Malaysia.

“Kalau ye pun nak tukar, tukar la nama yang ‘Malaysianize’ sikit. Lagi pun Jalan Raja Laut tu salah ke? Satu hal pula dan dikenakan lebih banyak kos juga nak ubah banyak benda. Tolong beri pencerahan kepada saya yang tak berapa cukup ilmu ni.”

“Menghapuskan sejarah kita sendiri demi bangsa Arab???” Tulis Mother Harlot di laman Twitter miliknya.

Annuar Musa Persoal Tindakan DBKL

Selepas isu ini menjadi viral di media sosial, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa telah menyatakan kegusaran beliau. Dia mempersoalkan keputusan DBKL untuk menamakan semula Jalan Raja Laut 1 menjadi Jalan Palestin.

Di laman Twitter miliknya, Annuar Musa menyatakan bahawa dia tidak ada halangan jika sesuatu jalan itu dinamakan Jalan Palestin, namun dia mempersoalkan mengapa Jalan Raja Laut 1 yang dipilih sedangkan dia adalah tokoh sejarah Melayu.

“Saya tiada halangan nak namakan jalan di Kuala Lumpur dengan nama Jalan Palestin, sebagai tanda sokongan kepada perjuangan pembebasan Al-Quds.

“Namun saya mahukan penjelasan kenapa pilih tukar nama Jalan Raja Laut, nama besar sejarah Melayu dan Kuala Lumpur.

“Kenapa tak tukar jalan nama Inggeris seperti Jalan Stonor, Jalan Conlay, Cohrane Road,” katanya di Twitter.

Untuk membaca laporan lain, klik pautan di bawah.

Kisah Perjuangan Datu Tating, Pahlawan Sabah Yang Dilupakan

Sejarah Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Yang Digelapkan British?

Sumber