Sebut sahaja nama Didi & Friends, pastinya watak ayam-ayam animasi dan kawan-kawannya yang comel dan menyanyikan sajak nurseri berlegar-legar di minda baik kanak-kanak mahupun orang dewasa. Dari lagu rasa sayang dan kalau rasa gembira, Didi & friends kini mendapat tempat dihati kanak-kanak di Malaysia.

Didi & Friends yang kini berusia 4 tahun penerbitannya, menerima anugerah YouTube Gold Creator kerana berjaya meraih satu juta pelanggan di YouTube malah menerima tontonan lebih dari satu billion tidak lama dahulu.

Anugerah YouTube Gold Creator merupakan satu permulaan yang baik dalam usaha studio Digital Durian untuk terus mengembangkan siri-siri animasinya yang popular dan anugerah yang diberikan oleh YouTube merupakan penghargaan untuk mengiktiraf pencipta kandungan yang telah mencapai kejayaan tertentu di YouTube.

Memberikan keceriaan kepada penonton dengan menghasilkan kartun yang berkonsepkan pendidikan, berkualiti dan menyeronokkan adalah matlamat pencipta Didi & Friends, Sinan Ismail.

Sinan Ismail yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Digital Durian dan pencipta Didi & Friends ingin Didi & Friends dikenali di serata dunia dan lekat dijiwa kanak-kanak seperti Upin & Ipin.

Didi `

Sinan bersama plat Emas daripada pihak YouTube

Berbeza dengan kartun animasi yang lain, Didi & Friends mempunyai kelainan tersendiri kerana menyanyikan sajak nurseri yang semua tahu serta lagu tersebut didendangkan dengan gaya yang menyeronokkan.

Digital Durian tidak bermula terus dengan Didi & Friends, Didi & Friends merupakan hanya satu idea yang disimpan ketika awal penubuhan syarikat ini. Syarikat tersebut awalnya mengadakan bisnes dalam bidang gambar perkahwinan namun tidak membuahkan hasil.

Setelah kegagalan dari bisnes sebelum itu, Digital Durian mula memuat naik Didi & Friends di YouTube dan tidak menyangka Didi & Friends mendapat sambutan yang menggalakkan dari penonton di YouTube. Lagu pertama yang dimuat naik oleh Digital Durian adalah lagu Rasa Sayang dan Kalau Rasa Gembira yang kini sudah ditonton lebih 70 juta kali.

Pada tahun 2010, Didi & Friends tidak kelihatan seperti yang disajikan kepada anda sekarang, kerana pada waktu itu watak Didi hanyalah seekor ayam serama yang tidak berbaju dan pada awal pembikinan hanya ada dua watak iaitu seekor ayam serama jantan dan ayam serama betina.

Tidak mudah untuk Didi & Friends untuk berada pada tahap sekarang. Didi & Friends bermula dengan Didi & Friends: Sciences Explore yang ditolak berkali-kali oleh stesen TV tempatan dan antarabangsa. Tidak ditolak secara terus tetapi ditolak sambil diberi maklum balas yang membina untuk menghebatkan lagi Didi & Friends.

Tagline yang dibawakan oleh Didi & Friends dahulu ialah dari mata turun ke hati, dimana ianya bukan berkonsepkan pembelajaran seperti sekarang dan tagline Hora Horey yang merupakan identiti untuk Didi & Friends membawa maksud kegembiraan.

Lagu yang dibawakan oleh Didi & Friends merupakan lagu rakyat yang public domain dan diperbaharui untuk menjadikannya kena dengan konsep Didi & Friends.

“Konsert Hora Horey mendapat sambutan yang menggalakkan dan memberikan kepuasan apabila kanak-kanak sangat menikmati dan berseronok ketika menonton filem yang bertemakan konsert. Ditambah lagi apabila Dato’ Siti Nurhaliza juga sudi untuk muncul dalam Konsert Hora Horey ini,” ujar Sinan.

Berita baik untuk anda diluar sana kerana selepas filem konsert hora horey, Didi & friends akan mengeluarkan filem terbaharu yang berkonsepkan penggembaraan yang akan diumumkan kelak.

Selain itu, satu karnival akan dianjurkan tidak lama lagi bersempena meraikan 1 juta subscribers di YouTube. Bagi Sinan Ismail, menjadi satu kepuasan baginya apabila lagu rakyat Malaysia dikenali ke serata dunia dibawa oleh Didi & Friends.

Didi & Friends juga akan mengorak langkah ke luar negara apabila akan menghasilkan video Didi & Friends di dalam bahasa antarabangsa lain seperti Bahasa Inggeris, bahasa Perancis, Tamil, bahasa Cina dan banyak lagi.

Sinan juga menasihati sesiapa yang ingin menjana pendapatan melalui YouTube supaya tidak takut untuk mencuba. “Jangan takut untuk mencuba, dan jika gagal boleh mencuba lagi sampai berjaya. Dalam hidup ni kita kena berani mencuba untuk berjaya,” kata Sinan.

Minat itu penting dalam apa jua yang anda ingin ceburi, dari minat kini Sinan menjadikan Didi & Friends satu kenyataan dan kanak-kanak menyukainya. Minat sahaja tidak mencukupi jika tidak berusaha, jika anda diluar sana ingin memberi inspirasi kepada orang ramai, anda harus berusaha untuk menjadikan ianya realiti. Tahniah Digital Durian!

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W), a part of Media Prima Group