Laman hiburan TC Candler telah mengeluarkan senarai 100 selebriti terkacak dan tercantik dunia mereka bagi tahun 2021 dan menariknya, pemilik tempat pertama untuk kategori wanita dan lelaki adalah milik selebriti dari Asia.

Lisa Manoban dari kumpulan Blackpink berada di tempat pertama untuk kategori wanita dan model terkenal Burma, Paing Takhon mengungguli carta untuk kategori lelaki. Senarai ini dikeluarkan oleh TC Candler setiap tahun di mana Lisa berada di tempat ke-6 dan Paing pula berada di tempat ke-2 tahun lalu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Siapa Paing Takhon?

Tiada siapa mempertikaikan kedudukan Lisa di tangga pertama TC Candler untuk tahun ini. Cuma untuk kategori lelaki, Paing Takhon mungkin kurang dikenali di seluruh dunia. Tetapi jika di Myanmar, beliau adalah salah seorang selebriti yang popular dan pernah muncul sebagai salah seorang peserta Masked Singer Myanmar.

Namun, beliau lebih dikenali sebagai seorang model kerana dirinya yang tinggi lampai dan kacak. Awal tahun ini, beliau mula dikenali di seluruh dunia selepas gambar beliau menjadi sami untuk 10 hari menarik perhatian ramai kerana beliau sanggup mencukur rambut panjang kesayangannya.

Dipenjara kerana sertai protes lawan kerajaan junta

https://twitter.com/ellen4561/status/1360152614441164804

Myanmar sendiri terkenal sebagai negara yang bergelut dengan ekonomi dan konflik etnik. Pihak tentera merampas kuasa dan menuduh bahawa wujud penipuan dalam sistem pengundian pada pilihan raya umum bulan November lalu di mana parti Aung San Suu Kyi menang dalam pilihan raya tersebut.

Sejak itu, Aung San Suu Kyi dan tokoh-tokoh kanan yang lain ditahan, manakala masyarakat Myanmar memilih untuk turun ke jalan raya bagi meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada tentera.

Seorang gadis berusia 19 tahun, Kyal Sin atau lebih mesra dengan panggilan Angel menjadi mangsa ketegangan antara rakyat dan tentera apabila beliau ditembak mati ketika menyertai protes besar-besaran rakyat Myanmar.

Kematian Angel telah mencetuskan kemarahan rakyat terhadap tentera junta dan Paing antara yang terlibat dalam protes anti-junta ini. Menggunakan popularitinya, beliau dengan lantang mengkritik kerajaan junta Myanmar di akaun sosial miliknya terutamanya Instagram.

Paing memegang placard yang merujuk kepada kematian Angel (kredit gambar: Getty/AFP)

Paing yang baru berusia 25 tahun telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman 3 tahun penjara atas kesalahan mengambil bahagian dalam protes besar-besaran terhadap kerajaan junta.

Akaun media sosial beliau dengan jutaan pengikut juga telah dipadam, kemungkinan besar secara paksa oleh pihak kerajaan. Beliau ditahan di rumahnya yang terletak di Yangon di mana lebih 50 askar tiba menaiki 8 trak askar untuk menahan beliau; menurut kenyataan adik perempuannya.

Paing Takhon telah ditahan oleh pihak junta sejak April lalu dan hukuman penjara baru dijatuhkan pada minggu ini. Khin Maung Myint, peguam untuk Paing memberitahu AFP bahawa Paing akan dihukum ‘penjara 3 tahun dengan kerja buruh’.

Ketika perbicaraan, Paing mengaku terlibat dalam protes tersebut dan hukuman dijatuhkan terus selepas mendengar pengakuan Paing. Selain itu, 120 selebriti Myanmar lain turut diburu kerajaan junta Myanmar kerana ‘bercakap buruk’ kepada dunia tentang cara mereka menjaga negara.

Setakat ini, 7,000 orang telah ditangkap dan lebih 1,000 orang mati dalam beberapa siri protes terhadap pihak junta sejak awal tahun 2021. Pemerhati bebas pilihan raya Myanmar bersepakat mengatakan pilihan raya umum Myanmar sebelum ini adalah adil tetapi tidak diendahkan oleh kerajaan junta.

Ini pula beberapa artikel lain berkaitan rampasan kuasa di Myanmar. Baca lagi pada pautan di bawah.

Hero Wanita Berusia 19 Tahun, Angel Tahu ‘Everything Will Be Okay’ Untuk Myanmar

Asyik Menari Dengan Lagu ‘Bang Jago’, Wanita Ini Tak Sengaja Rakam Rampasan Kuasa Di Myanmar

Kenapa Masyarakat Muslim Rohingya Tidak Sepatutnya ‘Merayakan’ Rampasan Kuasa Di Myanmar?

Sumber