Memakai topeng muka untuk mengelak daripada dikesan ketika melakukan aktiviti jenayah adalah satu kebiasaan dalam kalangan penjenayah di seluruh dunia terutama yang melibatkan rompakan dan samun.

Namun menggunakan topeng karakter atau pun watak daripada filem mungkin adalah sesuatu yang baru dan jarang didengari terutamanya di negara kita, seperti yang dilakukan sekumpulan penyamun dikenali sebagai The Mask Men yang ditangkap sepasukan polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) IPK Selangor ini.

SIDANG_MEDIA___OPS_LARAS_PROVOS_1596115998-_1_
Sumber gambar: harian Metro

Kumpulan tersebut menurut laporan Harian Metro dikatakan menggunakan topeng karakter Vendetta ketika melakukan jenayah samun di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan sebelum ini.

Topeng Vendetta itu sebelum ini pernah digunakan watak utama dalam filem V For Vendetta yang diterbitkan pada 2005.

103260517-GettyImages-179798713_[1]_-_Copy
Gambar Hiasan; Topeng Vendetta (FOTO: CNBC)
Dianggotai seramai enam lelaki, kumpulan tersebut bagaimanapun berjaya ditumpaskan pihak polis selepas dilaporkan terbabit dengan sekurang-kurangnya 50 kes samun sebelum ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Fadzil Ahmat, kumpulan tersebut dikatakan sangat berbahaya kerana bersenjatakan pistol dan parang ketika melakukan aktiviti samun di dalam rumah sebelum ini.

“Modus operandi kumpulan penjenayah ini adalah menjadikan rumah yang berpenghuni sebagai sasaran jenayah.

“Dengan tumpasnya kumpulan ini , kita percaya berjaya menyelesaikan lebih kurang 40 kes di Selangor, dua kes di Negeri Sembilan dan enam kes di Kuala Lumpur,” katanya.

https://www.facebook.com/media/set/?vanity=PolisSelangor&set=a.3151300251586560

Penahanan kumpulan yang menggunakan topeng karakter filem itu sebelum ini bermula apabila salah seorang ahli kumpulan terbabit berjaya ditahan di Pusat Bandar Puchong oleh pasukan khas yang ditubuhkan mengesan kumpulan tersebut.

Berpunca daripada tangkapan tersebut, pihak polis akhirnya berjaya mengesan dan menahan lima lagi anggota kumpulan terbabit dalam tempoh 24 jam di beberapa kawasan di Klang, Puchong, Selayang dan Shah Alam.

Dengan sebanyak 50 kes samun yang dipercayai dilakukan mereka sebelum ini, pihak polis menganggarkan jumlah kerugian mangsa di kesemua tempat sebelum ini bernilai lebih dari RM1.5 juta.

Tahukah anda, wang kertas yang mempunyai kesan dakwat sebenarnya berkemungkinan merupakan  hasil rompakan daripada mesin ATM? Baca perkongsian kami di bawah untuk membaca mengenainya.

Wanita Ini Kongsi Wang Kertas Ada Kesan Dakwat Rupanya Wang Hasil Rompakan Mesin ATM

Suspek Rompakan Menangis Apabila Bertemu Semula Rakan Sekelas Di Mahkamah Dalam Keadaan Janggal