Pakar yang ditugaskan untuk memantau wabak cacar monyet akui terkejut dengan penularan wabak yang kini sedang menyerang Eropah dan Amerika Utara. Wabak yang sebelum ini banyak menyerang mereka yang mempunyai hubungan dengan negara Afrika kini dilaporkan menyerang lelaki muda di eropah yang tidak mempunyai rekod hubungan negara benua tersebut, lapor The Independent.

Menurut angka terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat kira-kira 80 kes yang disahkan di seluruh dunia dan 50 lagi disyaki. Gejala biasa cacar monyet termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, sakit belakang, menggigil dan keletihan. Setakat ini, tiada kematian yang direkodkan akibat wabak tersebut. Namun WHO menganggarkan penyakit itu boleh membawa maut kepada satu daripada 10 orang.

Ahli Virologi Oyewale Tomori, bekas ketua Akademi Sains Nigeria, memberitahu The Associated Press bahawa beliau terkejut dengan situasi terkini, “Setiap hari saya bangun dan terdapat lebih banyak negara yang dijangkiti,” katanya. Tomori, yang menganggotai beberapa lembaga penasihat WHO, menambah, “Ini bukan jenis penularan yang kami lihat di Afrika Barat, jadi mungkin ada sesuatu yang baru berlaku di sana.”

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah telah mengesyorkan mereka yang disyaki mempunyai wabak tersebut diasingkan dan orang yang berisiko tinggi ditawarkan vaksin cacar. Menurut WHO, kira-kira 3,000 kes cacar monyet direkodkan di Nigeria setiap tahun. Wabak biasanya berlaku di kawasan luar bandar, dikawasan tempat tinggal yang dihuni oleh tikus dan tupai yang dijangkiti, kata Tomori.

Pada Jumaat lalu, sebelas lagi kes cacar monyet telah dikenal pasti di England oleh Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA). Jangkitan terkini menjadikan jumlah kes yang disahkan di England sejak 6 Mei menjadi 20 kes.

Dr Susan Hopkins, ketua penasihat perubatan di UKHSA, berkata: “Kami menjangkakan bahawa kes selanjutnya akan dikesan melalui pencarian kes aktif dengan bantuan NHS dan meningkatkan kewaspadaan dalam kalangan profesional penjagaan kesihatan.

“Kami menjangkakan peningkatan ini akan berterusan dalam beberapa hari akan datang dan untuk lebih banyak kes dikenal pasti dalam komuniti yang lebih luas. Di samping itu, kami menerima laporan tentang kes lanjut yang dikenal pasti di negara lain di seluruh dunia.

Beliau berkata sebahagian besar kes baru-baru ini di UK dan Eropah ditemui pada lelaki gay dan biseksual, dan menggalakkan mereka untuk “berwaspada terhadap gejala dan mendapatkan bantuan jika perlu”. Pegawai kesihatan di Sepanyol dan Portugal juga berkata kes mereka adalah pada lelaki muda yang kebanyakannya melakukan hubungan seks sesama lelaki.

Namun para pakar masih belum mengetahui bagaimana wabak ini bekerja dan tidak mempunyai bukti kukuh sama ada penyakit itu disebarkan melalui hubungan seks atau hubungan rapat lain yang berkaitan dengan seks.

Wabak cacar monyet mula merebak di Eropah, ini apa yang anda perlu tahu. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Wabak Cacar Monyet Mula Merebak Di Eropah, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Bagaimana Sikap Ambil Mudah British Terhadap ‘Spanish Flu’ Pada 1918 Korbankan 35,000 Penduduk Tanah Melayu

Bill Gates Beri Amaran, Ada Ancaman Lebih Bahaya Setelah COVID-19