Baru-baru ini Ahli Ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata pengelasan pendapatan isi rumah B40, M40 dan T20 perlu didefinisikan semula bagi memastikan bantuan yang akan disalurkan kerajaan benar-benar sampai kepada golongan memerlukan, lapor Harian Metro.

Ini disebabkan pandemik COVID-19, perubahan data terhadap golongan terbabit mungkin menyebabkan B40 menjadi B70.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Sekarang kemungkinan B40 sudah menjadi B70, M40 kepada M10 dan T20 jadi T5.

“Oleh itu kita perlu tahu data terperinci setiap mereka ini sebab bantuan harus diberi kepada yang memerlukan iaitu mereka yang pendapatannya rendah sehingga tidak cukup untuk menampung kos sara hidup.

“Di Malaysia, kos sara hidupnya RM2,500 dan sebenarnya lebih 50 peratus kumpulan pekerja, mempunyai gaji kurang RM2,000,” katanya kepada Harian Metro.

Sumber Gambar: RinggitPlus

Tambah Prof Dr Barjoyai lagi, terdapat 16 juta individu bekerja di Malaysia dengan lapan juta dipercayai dibayar gaji kurang RM2,000. Ada antara mereka bekerja sendiri, menjadi nelayan, petani serta pekerja gig ekonomi. Beliau menyatakan kumpulan tersebut yang sangat memerlukan dan perlu tahu bagaimana untuk bantu mereka.

“Masalah kita sekarang adalah data mikro (data terperinci) untuk setiap keluarga di mana kita perlukan data ini supaya dapat memahami siapa yang memerlukan bantuan.

“Contohnya mungkin dulu dia T20 tapi selepas hilang kerja dia memerlukan bantuan sementara mencari pekerjaan,” jelas Prof Dr Barjoyai.

Bagaimanapun beliau menyatakan perkara itu bukan satu masalah kerana semua maklumat boleh didapatkan melalui aplikasi MySejahtera kerana maklumat boleh didapati melalui aplikasi tersebut.

Justeru penggunaan analisis data besar juga boleh dilaksanakan bagi menentukan jenis bantuan yang diperlukan dan hasil keputusan itu, kerajaan boleh jadikan mekanisme untuk menangani setiap masalah rakyat.

Beliau turut mencadangkan antara pendekatan lain yang boleh dibuat adalah dengan menubuhkan institusi memerangi kos sara hidup di mana ia perlu disertai semua kementerian yang ada.

“Institusi ini akan menjadi penggerak untuk melaksanakan program bantuan secara meluas di seluruh negara dan bantuan akan disalurkan oleh institusi ini melalui Jabatan Perdana Menteri atau menerusi belanjawan setiap kementerian.

“Ini termasuklah membabitkan subsidi seperti minyak masak dan petrol, kalau boleh distrukturkan semula dan disalurkan melalui institusi khas itu.

“Selain itu, mekanisme (menubuhkan institusi khas) sebaiknya boleh mendapat akses untuk menghubungi seluruh rakyat tidak mengira golongan T20, M40, B40 atau miskin mutlak,” terang beliau lagi.

Prof Dr Barjoyai juga mendakwa Malaysia boleh jadi satu negara hebat jika pihak kerajaan dapat hubungi kesemua golongan pendapatan isi rumah dan maklumat mereka boleh diproses dalam masa 100 hari.

Sumber