Sejak diserang dengan wabak COVID-19 awal tahun ini, Malaysia telah menghadapi gelombang pertama dan kedua. Kali ini, gelombang ketiga pula yang menjengah negara.

Untuk rekod, sejak COVID-19 mula memasuki negara, Malaysia telah mencatatkan lebih 20,000 kes positif COVID-19 dengan lebih 180 kematian. Manakala lebih 13,000 kes positif COVID-19 telah berjaya sembuh.

Terbaharu, pakar menjangkakan gelombang ketiga yang menyerang negara dijangka berlarutan hingga awal tahun depan, ia seiring dengan peningkatan kes jangkitan virus di seluruh dunia, lapor Berita Harian.

Berbeza dengan gelombang pertama dan kedua, pola jangkitan COVID-19 di peringkat antarabangsa mempamerkan tempoh ia mencapai tahap puncak yang semakin lama.

Justeru, pakar perubatan kesihatan awam, Dr Ahmad Zaid Fattah Azman berkata peningkatan mendadak bilangan kes jangkitan baharu dijangkakan akan terus berlarutan bagi suatu tempoh agak lama.

Usaha Landaikan Lengkuk COVID-19

Tambahnya lagi, usaha untuk melandaikan lengkuk COVID-19 menjelang awal tahun depan bergantung kepada beberapa faktor, antaranya adalah tahap kesedian vaksin – adakah mampu dihasilkan pada akhir tahun ini atau sebaliknya.

“Trend jangkitan kekal meningkat dan jika keadaan seperti ini berlarutan selama dua minggu lagi, sistem perkhidmatan hospital kita akan lumpuh,” katanya kepada Berita Harian.

Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan jika mahu memutuskan rantaian COVID-19. Orang ramai diminta untuk mengamalkan gaya hidup berpandukan norma baharu sehingga akhir tahun depan atau 2022.

“Mungkin kita sebelum ini, tidak pernah mengalami pandemik bagi suatu jangka masa yang lama. Keadaan ini sekali gus mungkin mengakibatkan orang ramai fatigue (penat) untuk mengamalkan SOP.

“Pemimpin juga perlu memainkan peranan untuk memberi penerangan kepada rakyat bahawa kita tak boleh jangka pandemik ini akan berakhir dalam tempoh terdekat,” katanya.

Penurunan Kes Baharu Tidak Akan Berlaku

Bagi pakar epidemiologi, Prof Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan turut menyuarakan pandangan sama selain menjelaskan trend penurunan kes baharu dijangka tidak berlaku dalam tempoh terdekat.

Katanya, berikutan penularan COVID-19 gelombang ketiga dalam kalangan masyarakat menjangkau skop yang lebih luas, berbanding sebelum ini. Jadi ia menjadi agak sukar untuk dibendung.

“Trend penularan pada gelombang pertama dan kedua agak berbeza kerana jangkitan ketika itu dalam kluster yang sedikit, justeru lebih cepat dan mudah untuk diatasi, berbanding keadaan semasa,” katanya kepada Berita Harian.

Bagi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya yakin gelombang ketiga COVID-19 dapat dibendung daripada berlarutan hingga awal tahun depan seperti jangkaan pakar kesihatan.

Namun menegaskan bahawa semua pihak perlu memberi kerjasama dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan wabak itu.

Jangkaan ini bersandarkan kepada keupayaan negara sebelum ini yang pernah melandaikan lengkuk jangkitan ketika gelombang kedua berlaku pada awal tahun ini.

Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.

Saintis Dakwa Kumpulan Darah O Lebih Selamat, Kurang Risiko Dijangkiti COVID-19

Pakar Jangka Kes Harian COVID-19 Di Selangor Perlukan 4-6 Minggu Untuk Turun

Sumber