Terdahulu tular di media sosial apabila seorang pengguna memuat naik alat kemudi kereta Myvi yang sudah ‘dibikin’ menjadi seakan-akan alat kemudi kereta lumba.

Hantaran yang turut dilaporkan oleh pihak The Vocket telah mencetuskan perdebatan di antara netizen di media sosial dengan sebahagiannya mempersoalkan tahap keselamatan alat kemudi kereta tersebut.

Melalui satu hantaran lain, Aid Fawzal, seorang Doktor Falsafah dalam bidang Automotif dan Sistem Penyejukan Sukan Permotoran tampil menjelaskan kepada orang ramai kenapa alat kemudi kereta jenis ini perlu dielak daripada digunakan.

Berikut adalah penjelasan beliau.

Saya terima gambar alat kemudi kereta Myvi yang sudah dipotong dan ditanyakan pendapat, “Adakah rupa bentuk alat kemudi kereta separuh sebegini bahaya?”

Pertama sekali, “beauty is in the eye of the beholder“. Maksudnya kecantikan itu, berbeza-beza bergantung kepada siapa yang melihatnya.

Dan bila sesuatu itu dicipta atas sudut kecantikan, ia meletakkan keutamaan terhadap seni. Cantik rupabentuk sama dengan nilai seni.

Akan tetapi dalam dunia kejuruteraan, kecantikan tadi haruslah disetarakan dengan fungsi atau kegunaannya.

Alat kemudi kereta ini adalah satu-satunya alat kemudi dan kawalan kenderaan. Ia direka bulat untuk kereta harian supaya mata boleh terus melihat jalan sambil tangan membuat tindakan memaut dengan memegang atau menarik untuk mengemudikan kenderaan tanpa perlu berfikir panjang.

Akan tetapi, apabila alat kemudi kereta ini diciptakan separuh seperti gambar yang tular, akal perlu melakukan satu lagi langkah permikiran untuk kenali apa tindakan memaut yang boleh atau apa yang tidak boleh dek kerana alat kemudi tidak lagi membulat.

Disinilah datang bahayanya.

Bila dalam keadaan terdesak, pastinya akan panik dan boleh hilang kawalan dengan mudah.

Dalam keadaan biasa/harian, pasti menyusahkan bila mahu parkir kereta dan membuat pusingan-U.

Berbeza dengan kereta perlumbaan. Kereta lumba (racing cars) gunakan alat kemudi separuh setara dengan fungsinya; untuk perlumbaan.

Dalam perlumbaan, hampir setiap masa, pemandu memegang pada kiri dan kanan alat kemudi sahaja. Dengan tu, ia hanya perlukan darjah pusingan yang sedikit untuk dapatkan pusingan kemudi penuh ‘lock-to-lock’.

Ini berbeza dengan kereta harian. Kereta harian kita mahukan sesuatu yang mudah penggunaannya (ease of use) dengan letakkan banyak pusingan kemudi untuk dapatkan pusingan penuh.

Disebabkan sasaran pengguna berbeza, sistem kemudinya berbeza dan rupa bentuknya juga berbeza.

Hal ini yang dipanggil “form follow function” (L. H. Sullivan, 1896).

Setiap perkara yang direka untuk kegunaan manusia itu ada baiknya rupa bentuk (form) disetarakan dengan kegunaannya (function).

Janganlah kerana rupa yang cantik, kita korbankan penggunaannya. Boleh jadi ia membahayakan lebih daripada yang kita sangkakan.

Tindakan pemilik Myvi guna ‘steering potong’ berharga RM2,500 undang pelbagai reaksi. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Tindakan Pemilik Myvi Guna ‘Steering Potong’ Berharga RM2,500 Undang Pelbagai Reaksi