Tahun ini merupakan tahun ketiga kita dihadapkan dengan wabak COVID-19. Sejak ia menjengah dunia, kehidupan tidak lagi seperti dulu. Pelbagai garis panduan telah ditetapkan bagi membendung wabak ini dari terus menular. Hingga membuatkan kita tertanya-tanya adakah kita akan bersua lagi dengan kehidupan bebas yang lalu atau kita akan terus bersama-sama dengan COVID-19?

Persoalan ini mungkin tiada jawapan yang jelas, kerana masih belum nampak petunjuk bahawa wabak ini akan berakhir. Namun bagi seorang pakar pernafasan di Hospital Vichaiyut Bangkok, beliau meramalkan bahawa varian terbaharu COVID-19 mungkin bakal menjadi petunjuk bahawa pandemik COVID-19 akan berakhir, lapor The Star.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dalam catatan di laman Facebook, Dr Manoon Leechawengongs menegaskan bahawa varian Omicron telah bermutasi dengan ketara daripada coronavirus asal dan impaknya jauh lebih ringan. Ini kerana, baginya, Omicron cuba untuk menyesuaikan diri sehingga tidak membunuh perumah untuk hidup di dalamnya selama yang boleh.

“Omicron adalah bukti sifat virus, kerana ia menyesuaikan dirinya dengan menghasilkan simptom yang lebih ringan supaya ia tidak membunuh perumah dan boleh hidup di dalamnya selama yang boleh. Lambat laun, kebanyakan orang akan dijangkiti dengan varian Omicron tanpa mengira etnik, jantina atau umur mereka.

“Dr Wasan [Chantrathit, ketua Pusat Genomik Perubatan Hospital Ramathibodi] dan saya bersetuju bahawa apabila lebih ramai orang mendapat vaksin COVID-19, kami akan mencapai imuniti kumpulan terhadap virus itu, menyebabkan wabak itu berakhir tahun ini. Terima kasih kepada Omicron, COVID-19 akhirnya akan menjadi jangkitan endemik, dengan kanak-kanak kecil mendapatnya setiap tahun,” katanya.

Jangkitan endemik ialah jangkitan yang sentiasa ada pada tahap yang lebih besar atau lebih kecil pada orang dari kelas tertentu atau tinggal di lokasi tertentu. Melalui kaji selidik yang dilakukan ke atas 100 pakar imunologi, penyelidik penyakit berjangkit dan pakar virologi. Hampir 90% pakar berpendapat bahawa coronavirus akan menjadi endemik — bermakna ia akan terus berada bersama-sama penduduk global untuk tahun-tahun akan datang.

“Oleh kerana Omicron menghasilkan simptom yang lebih ringan daripada varian Delta, mereka yang diberi vaksin kebanyakannya akan mengalami simptom yang tiada bezanya dengan selesema biasa. Bagaimanapun, saya amat menasihati mereka yang berada dalam kumpulan berisiko, seperti warga emas, wanita hamil dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan untuk mendapatkan vaksin secepat mungkin. Jika anda sudah mempunyai dua suntikan, dapatkan penggalak sebelum kebanyakan orang di negara ini dijangkiti oleh varian Omicron dalam satu atau dua bulan berikutnya.”

Omicron difahamkan menyerang tubuh manusia pada kadar yang lebih ringan mengikut kajian awal yang diterbitkan di UK dan Afrika Selatan. Bukti awal menunjukkan bahawa tidak ramai orang yang memerlukan rawatan di hospital berbanding dengan varian lain – dengan anggaran antara 30% hingga 70% pengurangan.

Namun kebimbangan tetap wujud bahawa Omicron akan menyebabkan kenaikan kes yang mendadak dan boleh memberi kesan buruk kepada sistem hospital. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada Khamis lalu memberi amaran supaya tidak mengkategorikan varian Omicron sebagai ringan, mengatakan ia mempunyai kemampuan untuk membunuh orang.

“Walaupun Omicron nampaknya kurang teruk berbanding Delta, terutama bagi mereka yang divaksinasi, ia tidak bermakna ia harus dikategorikan sebagai ringan,” kata ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.

‘Kemungkinan besar gelombang Omicron akan mula di Malaysia’ – Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan meramalkan bahawa Omicron akan menyerang Malaysia pada bila-bila masa sahaja. Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah. 

‘Kemungkinan Besar Gelombang Omicron Akan Mula Di Malaysia’ – Khairy Jamaluddin

‘Mereka Dah Lama Rancang’ – Netizen Kaitkan Varian Omicron Dengan Filem Tahun 1963

Ini Sebab Mengapa WHO Isytihar Varian ‘Omicron’ Sebagai Sangat Berbahaya Pada Ketika Ini