Bapa saudara yang mesra anak buah dan bapa saudara pemanas kerusi, dua-dua dibezakan melalui skrip yang keluar dari mulut.

Satu pengamal skrip inspirasi, satu lagi cenderung kepada skrip desktrutif.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Anak buah yang bertemu bapa saudara setahun sekali ambil peluang duduk bersama-sama. Sambil mereka makan dua tiga keping kuih raya yang beraneka rasa, bapa saudara pun bertanya kepada anak buah di depan mata.

“Selepas SPM mahu ke mana?”

Habis kunyah kuih tat nenas, cepat-cepat anak buah menjawab, “Cadangnya mahu ambil apa-apa berkaitan ilustrasi,” gembira dia berkongsi rancangan masa depan.

Bapa saudara, pegawai tinggi kerajaan menjawab, “Boleh hidupkah dengan berus dan warna? Bukan senang mahu cari kerja itu. Sekarang ini ada empat sahaja bidang kritikal negara perlukan, bla.. bla… bla… pakcik dahulu belajar di Madagascar… bilion…” Mulalah dia beri nasihat mentol padam kepada anak saudara.

Kerusi sejuk jadi panas, habis kunyahan kuih terakhir, anak saudara pun minta izin beransur ke dapur, “Mahu ambil air,” katanya dan tak duduk di situ lagi. Akhirnya TV3 menang dengan tayangan malam raya, Thor. Dapat satu lagi penonton.

Sudah anak lima pun, anak saudara yang diberi pesanan berdasarkan pengalaman agung bapa saudara beberapa tahun lalu hanya akan pergi beraya rumah saudara jika pergi ramai-ramai.

“Tak mahulah pergi sendiri, nanti panjang ceramah berdasarkan kejayaan dia,” kata anak saudara yang sudah berjaya menjadi ilustrator. Dia teringatkan bapa saudara versi sepuluh tahun lalu.

Bapa saudara pula di rumah tunggu anak buah datang dengan fikiran, “Itulah, budak-budak ini dah besar, jenguk pun tak mahu.”

Dia lupa.

Putar semula cerita.

Anak buah yang bertemu bapa saudara setahun sekali ambil peluang duduk bersama-sama. Sambil mereka makan dua tiga keping kuih raya yang beraneka rasa, bapa saudara pun bertanya kepada anak buah di depan mata.

“Selepas SPM mahu ke mana?”

Habis kunyah kuih tat nenas, cepat-cepat anak buah menjawab, “Cadangnya mahu ambil apa-apa berkaitan ilustrasi,” gembira dia berkongsi rancangan masa depan.

Bapa saudara, pegawai tinggi kerajaan, layari internet di telefon, kemudian ditunjukkan pada anak buah, “Ini antara tempat yang dicadangkan sambung belajar. Dalam Facebook, ada dua tiga nama ilustrator besar juga, cubalah ‘add friend’, untung-untung mereka ada kelas di rumah bolehlah pergi. Alang-alang mahu jadi ilustrator, biar mula kecil, berakhir besar!”

Habis kunyahan kuih terakhir, anak saudara pun minta izin beransur ke dapur, “Mahu ambil air,” kemudian dia datang semula, sambung bersembang.

Ada anak lima pun, anak saudara tak sabar-sabar mahu ke rumah bapa saudara, walaupun datang seorang diri. Mahu dengar lagi idea gila-gila bapa saudara.

Dia ingat.