Sejurus dibuka jam 10 pagi semalam, pameran e-sukan sempena Program 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) terus dipenuhi pengunjung khususnya mereka yang berusia bawah 25 tahun untuk merasai sendiri pengalaman memegang console ketika berlumba kereta dan permainan simulator.

Pengurus Projek Kejohanan E-Sport Program 100 hari AKM, Nurul Aina Nor Azmi berkata sambutan yang diterima sejak hari pertama begitu menggalakkan. Katanya, e-sukan sudah lama bertapak di Malaysia namun masih ada dalam kalangan rakyat yang hanya sekadar mengetahui ia hanya permainan video semata-mata.

Hadiah keseluruhan bernilai RM40,000 menanti pengunjung

“Kami juga menganjurkan pertandingan e-sukan dengan nilai keseluruhan bernilai RM40,000 menanti pengunjung,” kata Nurul Aina. Selain itu, pihak mereka turut akan memberikan penerangan lanjut mengenai e-sukan dan peluang yang boleh diceburi sebagai karier kepada pengunjung yang berminat secara mendalam dalam bidang ini.

Program 100 Hari AKM yang kini berlangsung sehingga Ahad ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menyediakan 100 ruang pameran kementerian, agensi dan syarikat swasta selain pelbagai acara menarik menanti pengunjung.

Dalam pada itu, Ketua Sektor Kesihatan Mental, Pencegahan Kecederaan, Keganasan dan Penyalahgunaan Substans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Nurashikin Ibrahim berkata ruang pameran kementerian itu menerima sambutan daripada pengunjung yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai kesihatan dan langkah pencegahan serta rawatan.

Kata Dr Nurashikin, beberapa kaunter saringan kesihatan serta khidmat nasihat kesihatan juga dibuka untuk pengunjung mendapatkan maklumat lanjut. “Di ruang pameran KKM juga terdapat kaunter MySejahtera untuk pengunjung yang menghadapi masalah aplikasi selain mahu mengetahui lebih lanjut mengenai aplikasi berkenaan,” katanya.

Mudahkan orang ramai terima maklumat lanjut

Pengunjung, Muhammad Daniel Hakim Jamaludin, 18, teruja apabila berpeluang menyertai pelbagai acara yang dianjurkan kementerian dan agensi pempamer. Katanya, program ini adalah platform yang memudahkan orang ramai khususnya golongan muda mendapatkan maklumat lanjut mengenai kerajaan dan kementerian berkaitan.

“Saya bersama rakan hadir untuk memberi sokongan kepada program ini selain menganggap ia adalah peluang ia adalah peluang mendapatkan maklumat lebih mudah daripada mana-mana kementerian,” katanya.

Bagi pesara swasta, Faizal Alias, 56 dia berpeluang mendapatkan maklumat lebih jelas inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) khususnya selepas pandemik COVID-19.

Katanya, maklumat yang diberikan petugas Motac jelas dan membantu pengunjung mendapat informasi terkini kementerian. “saya berpuas hati dengan penerangan diberikan khususnya berkaitan pelancongan dalam negeri dan bagaimana untuk memilih pemandu pelancong bertauliah.

“Kempen pelancongan dalam negara kini perlu dirancakkan agar dapat membantu meningkatkan semula ekonomi negara,” katanya.

Berikut adalah beberapa artikel lain berkaitan program 100 Hari Aspirasi keluarga Malaysia yang sedang berlangsung di KLCC sehingga Ahad ini.

Laporan Pencapaian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia Penting Bagi Tentukan Hala Tuju Kerajaan

Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia Di KLCC Terima Sambutan Hangat

Sumber