Minggu ini heboh di media tempatan apabila terdapat laporan dokumen Pandora Papers yang mendedahkan aktiviti sebahagian rakyat Malaysia yang datang dari latar belakang ahli politik dan usahawan yang menyimpan kekayaan mereka di luar negara.

Menurut Coconut KL yang memetik laporan MalaysiaKini, ia menyatakan bahawa antara ahli politik dan usahawan dari Malaysia yang didakwa terpalit dengan isu ini adalah Daim Zainuddin (bekas menteri kewangan dari tahun 1984 hingga 1991), Zafrul Aziz (Menteri Kewangan sekarang), Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO), Yamani Hafez Musa (Timbalan Menteri Kewangan), G Gnanalingam (ahli perniagaan Westport Holdings Sdn Bhd), William Leong (bekas ahli Parti Keadilan Rakyat), Mahmud Abu Bekir dan Hanifah Hajar Taib (anak gabenor Sarawak Abdul Taib Mahmud), Tiong Hiew King dan Tiong Ik King (ahli perniagaan IB Holdings Limited), Larry Low Hock Ping dan Goh Gaik Ewe, Lim Kok Thay (Ketua Genting Group).

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Setakat ini, ada beberapa nama yang disebutkan di atas telah menafikan dakwaan bahawa mereka mempunyai kekayaan di luar negeri. Manakala sebahagian lagi difahamkan bakal mengambil tindakan undang-undang kepada agensi media tempatan kerana dakwaan tersebut.

Apa yang anda perlu tahu mengenai Pandora Papers

Pandora Papers adalah dokumen yang mendedahkan kekayaan yang disembunyikan di luar negeri, sindiket pengecualian cukai dan aktiviti mencuci duit dari kalangan orang kaya dan berpengaruh di dunia. Data tersebut diperoleh oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) di Washington DC yang telah bekerjasama dengan lebih 140 organisasi media serta melibatkan 600 wartawan di 117 negara.

Pendedahan Pandora Papers merangkumi 6.4 juta dokumen, hampir tiga juta gambar, lebih dari satu juta e-mel dan hampir setengah juta spreadsheet. Ia juga melibatkan 14 sumber yang dipercayai yang diperoleh oleh agensi media dalam satu pendedahan yang paling mengejutkan minggu ini.

Selain cerita yang melibatkan rakyat Malaysia, antara yang didedahkan oleh Pandora Papers adalah bagaimana Keluarga pemerintah Qatar berjaya mengelak cukai sebanyak £18.5 juta untuk sebuah rumah di London, King of Jordan yang didakwa membeli hartanah di UK dan AS bernilai £70 juta melalui sebuah syarikat rahsia dan bagaimana keluarga Presiden Kenya Uhuru Kenyatta secara rahsia memiliki rangkaian syarikat luar pesisir selama beberapa dekad.

Fail-fail tersebut mendedahkan bagaimana beberapa orang paling berkuasa di dunia – termasuk lebih daripada 330 ahli politik dari 90 negara – menggunakan syarikat luar pesisir untuk menyembunyikan kekayaan mereka. Lakshmi Kumar dari kumpulan pemikir Global Financial Integrity AS menjelaskan bahawa orang-orang ini “mampu menyalurkan dan menyedut wang serta menyembunyikannya,” melalui syarikat tanpa nama.

Penubuhan syarikat luar pesisir atau offshore ini dilihat untuk mengaburi mata umum dalam menyembunyikan aset serta lubuk untuk mencuci duit. Ia ditubuhkan melintasi sempadan disebabkan undang-undang di negara terbabit tidaklah seketat di negara sendiri.

Selain itu, di negara terbabit, orang kaya atau mereka yang berpengaruh mempunyai kelebihan apabila terdapat undang-undang yang melindungi nama mereka sebagai pemilik syarikat terbabit dan di dalam beberapa kes, cukai yang dikenakan di sana lebih rendah atau tidak ada.

Untuk rekod, antara negara yang sering dijadikan ‘syurga bebas cukai’ oleh golongan kaya dan berpengaruh ini adalah Kepulauan Cayman dan Kepulauan Virgin Britain serta negara-negara seperti Switzerland dan Singapura.

Dan untuk pengetahuan anda, selain daripada menjadi tumpuan golongan kaya di rantau ASEAN, jiran kita Singapura adalah antara lima negara teratas di dunia yang menyalurkan dana ke negara-negara dengan rejim cukai rendah (atau bahkan tidak ada sama sekali) seperti Luxembourg, Cyprus dan Jersey serta Caribbean seperti Kepulauan British Virgin, Bermuda dan Bahamas.

Pembunuh yang datang tanpa diundang, ini apa yang anda perlu tahu mengenai kanser. Untuk membaca, klik pautan di bawah.

‘Pembunuh’ Yang Datang Tanpa Diundang, Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Kanser

Mutasi Baharu COVID-19 Dilaporkan Mudah Berjangkit, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

6 Tahun Menunggu, 2 Kali Gagal, Lihat Apa Pemuda Ini Lakukan Demi Menawan Everest