Pantun adalah sastera lama yang sering dikarang atau dituturi pada zaman dahulu. Ia merangkumi lenggok bahasa Melayu dan mempunyai maksud disebaliknya. Pantun terkenal di sekitar Nusantara di Asia Tenggara.

Di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), institusi yang bertanggungjawab menghidupkan bahasa, baru-baru ini memuat naik satu pantun di laman sosial milik mereka. Pantun yang ditulis begini, “Apalah guna berkain batik, Kalau tidak memaki capal; Apalah guna beristeri cantik, Kalau tak pandai menumbuk bawang.”

Pantun yang dimuat naik di laman Twitter tersebut telah mendapat perhatian ramai, dengan lebih 800 ciapan balas, 1,500 tanda suka dan beribu komen. Bagaimanapun, pantun tersebut telah dituduh sebagai seksis dan cuba untuk merendahkan kaum wanita oleh sesetengah netizen.

Salah seorang pengguna Twitter dengan nama The Zach menulis, “Aku rasa ini antara pantun bersifat misoginis/seksis menghina perempuan yang wajar dikaji semula penggunaannya.”

Manakala Jacalyn Kow pula mempersoalkan pantun tersebut sambil bertanya adakah dia perlu bersedia untuk ‘menumbuk sambal’ sebelum layak digelar sebagai isteri, “Saya fikir kita tidak boleh mengurung wanita untuk menetapkan peranan mereka (terutama di dapur).”

Pantun yang dimuat naik oleh DBP ini turut mendapat perhatian ahli politik di Malaysia, Muhammad Bakhtiar, Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, “Maaf DBP pantun ini bersifat patriaki dan seksis pada pandangan saya. Adakah wanita diharap pandai menumbuk sambal lebih dari tugas lain. Tentunya tidak.”

Manakala badan bukan kerajaan, All Women’s Action Society (AWAM) di dalam ciapannya mengajak DBP untuk hadir ke kelas bagi mempelajari lebih banyak mengenai jantina.

Namun, sejauh manakah kebenaran di sebalik pantun tersebut? Adakah benar ia menjatuhkan wanita? Perlu diingat bahawa sastera lama atau pantun adalah cara orang dahulu berbudi bahasa. Mereka tidak menegur seseorang itu secara terus, tetapi melalui kiasan.

Maksud pantun

Setelah DBP teruk ‘digoreng’ oleh netizen, beberapa individu tampil membetulkan keadaan. Kebanyakan daripada mereka mempertahankan tindakan DBP sambil menyatakan bahawa pantun tersebut tidak boleh diambil secara terus, ia perlu difahami juga bersama dengan maksud.

Bagaimanapun, maksud di sebalik pantun tersebut itu banyak, namun semuanya mengambil subjek yang sama, iaitu pantun itu adalah nasihat buat si lelaki dan bukannya untuk memburukkan kaum wanita.

Ayman Wong, penulis buku Dunia Tanpa Tembok berkata bahawa pantun tersebut tidak menjatuhkan mana-mana jantina, tetapi lebih kepada sudut pelajaran di mana ia bermaksud “jangan pandang paras rupa semata-mata”.

https://twitter.com/IniAlannn/status/1316912568481533953

Manakala Wewenang di dalam ciapannya berkata, “Dalam sungguh rupanya maksud pantun lama yang DBP kongsikan semalam. Baru faham lepas penulis terkemuka Puan Nisah Haji Haron terangkan maksud sebenar pantun ni yang secara halus dan berlapik mengkritik suami yang gagal melaksanakan nafkah batin.”

Puan Nisah di dalam mesej penerangannya berkata bahawa, “Pantun itu tentang suami yang tak pandai melayan isteri secara batin. Sebab itu dikatakan buat apa beristeri cantik, kalau tak pandai layan isteri.”

Sambil menambah bahawa secara luasnya, pantun tersebut menyatakan tanggungjawab suami kepada isteri, “Hubungan itu dua hala dan menjadi tanggungjawab suamilah untuk menentukannya,” katanya.

Begitulah indahnya bahasa Melayu kita. Penuh dengan kiasan dan budi bicara. Jika yang diambil hanya permukaan, kita akan terlepas apa yang ada di dalam.

Ciapan yang dimuat naik sejak semalam ini berjaya mencetuskan perbincangan di media sosial. Ia dilihat seperti satu perkembangan positif kerana masyarakat mula peka dengan budaya lama kita.

Namun, melihat situasi ini, DBP sebenarnya mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan kerana kecantikan bahasa Melayu lama masih belum dapat disentuh oleh golongan biasa. Hanya terbeku di dalam almari para ahli tanpa sudi turun menyapa rakyat kebanyakan.

Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.

Duta Besar Perancis Ucap Selamat Tinggal Dengan Pantun Perpisahan Dalam Bahasa Melayu

Lengkap Dengan Pantun Dan Seloka, Kumpulan Ini Anjur ‘Kenduri Kahwin’ Dalam Permainan GTA 5