Kota Paris menyaman syarikat penginapan terkenal, Airbnb akibat melanggar undang-undang penerbitan iklan rumah dan bilik sewa di negara tersebut. Menurut Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo berkata syarikat tersebut mungkin akan menanggung saman sehingga €12.5 juta (±RM57.6 juta).

Berdasarkan undang-undang Perancis yang telah diluluskan pada tahun 2018, pemilik rumah di Paris boleh mengiklankan rumah mereka di platform sewaan dalam tempoh waktu pendek hingga tempoh maksima 120 hari dalam setahun. Setiap iklan yang disiarkan haruslah mempunyai nombor pendaftaran iklan untuk mengelakkan iklan disiar melebihi tarikh yang ditetapkan.

Tambah Datuk Bandar, undang-undang ini diperkenalkan untuk mengelakkan berlakunya aktiviti sewa haram yang menjejaskan beberapa kejiranan di bandar tersebut. Airbnb juga turut mendapat respon kurang baik daripada pihak hotel kerana dianggap memberi saingan tidak baik sehinggakan memberi kesan kepada industi perhotelan.

Namun menurut maklum balas daripada pihak Airbnb pula menyatakan pihak mereka sudah berusaha sebaik mungkin untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Airbnb berpendapat perkara ini terjadi disebabkan peraturan di Paris yang bersifat tidak cekap, tidak seimbang dan bertentangan dengan peraturan Eropah.

Perancis adalah pasaran kedua terbesar Airbnb selepas Amerika Syarikat. Setakat ini sebanyak 65,000 buah rumah di Paris telah diiklankan di Airbnb.

Sumber