Menjelang PRU14 ini macam-macam ragam dan cara pula yang digunakan oleh parti-parti politik untuk memenangi hati para pengundi. Baru-baru ini satu parti politik dikesan ‘membeli’ penonton Facebook live ketika penganjuran ceramah parti berkenaan di salah satu lokasi di tanah air. Taktik ini dibuat bagi mengaburi mata penonton seolah-olah mereka berjaya menawan hati ramai pengundi.

Taktik ini dikesan menerusi satu FB Live yang memaparkan ceramah politik yang berlangsung di Jerlun, Kedah apabila pautan tersebut dikongsikan menerusi 3 akaun berbeza tetapi mempunyai bilangan penonton yang sama. Menurut pandangan Felo Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin, jumlah bilangan penonton yang sama menerusi ketiga-tiga akaun tersebut menunjukkan seolah-olah semua penonton menonton ketiga-tiga FB Live itu secara serentak.

Tambahnya taktik ini digunakan bagi mewujudkan ‘winning psyche’ atau mendatangkan rasa menang kepada parti yang membeli penonton tersebut. Hasil kaji selidik, terdapat pautan mengenai tawaran ‘membeli’ penonton ini di pasaran gelap. Tawaran dibuka dengan harga serendah AS$14 (RM55.17) sehingga AS$194.98 (RM591) bagi 100 hingga 1000 penonton.