Nota Editor: Kisah pahit manis berkahwin sewaktu masih belajar ini telah dicatatkan oleh Amirul Hamudin di Facebook beliau. Kami kongsikan semula di sini dengan izin dari penulis. Semoga ia memberi inspirasi terutama buat anda yang masih belajar di pusat pengajian tinggi.

Catatan June 2015

Segala puji bagi Tuhan sekalian alam. Alhamdulillah.

Hanya kami dan Allah yang tahu betapa jerih payah yang dilalui bersama sejak berkahwin sehinggalah ada anak, untuk bergelar seorang doktor. Lebih penting, menamatkan apa yang dimulakan sejak 7 tahun lepas.

Di Dublin, sesudah berkahwin kami ditegur dan ‘dileter’ oleh pegawai MARA ketika itu. Malah terpaksa berdebat untuk meminta dibenarkan berkahwin. Hanya kerana takut perkahwinan akan memberi kesan kepada keputusan pelajaran. Apa yang berlaku, sesudah berkahwinlah saya mendapat A+ pertama sepanjang bergelar pelajar perubatan di UCD.

amirul-3

Pulang dari Dublin, kami terpaksa ‘bergaduh’ lagi dengan pihak pentadbiran kolej. Pada hari pendaftaran kali pertama menjejak kaki di kolej. Supaya kami dibenarkan berada dalam satu kumpulan sama kerana masalah pengangkutan. Tetapi kami gagal.

Maka selalulah terjadi kami terpaksa menunggu satu sama lain, terutama apabila salah seorang ‘on-call’, menghantar dan menjaga anak bila isteri perlu ke wad untuk menyalin fail pesakit, bila perlu ke Taiping balik hari semata-mata untuk mengambil isteri, sedangkan esoknya kelas dan pelbagai lagi.

Entah berapa kali salah seorang terpaksa ‘tuang’ kelas, untuk membenarkan seorang lagi hadir ke kelas yang dianggap lebih penting dan wajib dihadiri. Masalah mencari penjaga Naurah, isteri terpaksa mengambil periksa suplemen semata-mata untuk melahirkan Naurah, mengorbankan kelas tambahan periksa yang dibuat pukul 5-6pm kerana Naurah perlu diambil sekitar pukul 5, dll.

Tapi, dalam setiap kesusahan ada kesenangan. Entah berapa kali Allah menghantar pertolongannya dari arah tidak disangka-sangka. Seperti junior yang sudi menjaga Naurah pada hujung minggu, dan paling besar tentunya bila keputusan periksa yang pada awalnya gagal diterima menjadi lulus.

Benarlah. Apabila berumah tangga, mempunyai anak, Allah akan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.

amirul-2

Catatan Ogos 2014

Kata seorang penulis, Tuhan bekerja dalam cara yang sangat misteri. Terkadang, kita tidak mengerti meski janjinya pasti.

Sering sahaja ada yang bertanya, bagaimana hendak mengurus kewangan sehingga mampu berkahwin ketika masih belajar. Malah kini ada pula cahaya mata.

Entah kenapa, sejak Naurah dilahirkan rezeki yang diterima tidak putus-putus. Baik daripada segi hadiah kawan-kawan yang pemurah, ahli keluarga yang membantu dari segi kewangan mahupun lain-lain sokongan dari pelbagai insan yang tidak pula begitu rapat. Mungkin Tuhan mengelilingkan saya dan keluarga dengan insan-insan yang pemurah.

Dan semalam, Tuhan menunjukkan lagi melalui takdirNya. Saya tidak begitu tekun mengulangkaji malam sebelum periksa untuk ‘long case’ obstetrik dan ginekologi atas beberapa sebab.

Tambah pula, kata pelajar lain, tempat kami mengambil long case di Hospital Besar susah sedikit berbanding di Seberang Jaya, kerana doktor di sana gemar memberikan pesakit yang mempunyai sejarah kes yang panjang selain penyakitnya sendiri mempunyai pelbagai komplikasi.

Masuk ke tempat kuarantin sebelum dibawa HO ke katil pesakit, saya tekun mengulang baca diabetes dalam wanita hamil, fibroid, kandungan songsang dan lain-lain seperti disarankan beberapa pelajar lain. Tiba giliran saya dibawa HO ke bilik bersama pesakit, saya melihat satu wajah yang sangat dikenali. Kami tersenyum memandang satu sama lain.

Ya, HO inilah yang dahulunya menjaga isteri saya ketika dia melahirkan Naurah dan dia turut mengenali saya. Dalam perjalanan, dia tidak henti-henti memberikan tips dan pathologi apa patut dibaca kerana menurutnya, kes ini agak susah.

amirul-5

Memang benar.

Saya tidak menjumpai apa-apa ‘finding‘ ketika membuat pemeriksaan fizikal. Malah, sejarah penyakitnya juga tidak begitu banyak yang berkaitan lantaran pesakit sendiri masih dalam usia muda.

Mujur perbincangan banyak sekitar diagnosis pesakit dan bukan apa yang berjaya ditemui. Mungkin, saya tidak tahu pun semua itu jika tidak membacanya sebelum bertemu pesakit.

Mungkin saya tidak membacanya pun jika tidak diberitahu doktor pelatih tersebut. Dan mungkin dia tidak ingin pun memberitahu jika tidak mengenali saya. Dan tidak mungkin saya mengenali doktor pelatih itu jika isteri saya tidak mengandung dan Naurah tidak lahir ke dunia ini.

Sungguh rezeki itu bukan hanya dalam bentuk kewangan. Bantuan Tuhan itu pelbagai sifatnya dan kadang datang dalam bentuk dan masa yang tidak terjangka.

Benar katamu, kerja Tuhan itu sangat misteri dan kadang tidak kita fahami. Tetapi janjiNya itu pasti. Moga lulus dan baik-baik sahaja semuanya.
Keajaiban berlaku ketika exam OnG.

Masa itu sibuk sebab baru melahirkan naurah, dia demam kuning banyak keluar masuk hospital. Jadi saya tidak ada banyak masa untuk ulang kaji.

Tapi, doktor yang saya kenali kerana menguruskan isteri untuk melahirkan anak beritahu saya apa penyakit yang saya dapat, apa pesakit saya ada dan alhamdulillah, saya lulus atas pertolongan tersebut.

BACA: Perkahwinan DiRaja Yang Sangat Dekat Di Hati Rakyat Malaysia Ini Tidak Pernah Ditonton Oleh Gen X Dan Gen Y

BACA juga: Lelaki Ini Berkongsi 2 Sebab Beliau Nekad Mahu Kahwin Awal

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram