Sepasang kekasih memiliki sebuah kereta mewah BMW X3 bernilai RM250,000 rupa-rupanya hasil daripada jualan biskut dan kek ganja yang dijual melalui media sosial Instagram sejak lima bulan lalu.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif, berkata tangkapan dilakukan menerusi Op Storm hasil risikan selama sebulan.

Sumber Gambar: NST

Suspek pertama, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan ketika dia berada dalam kereta Honda City di hadapan lobi sebuah residensi di Jalan Pudu, Kuala Lumpur pada jam 3.50 petang, kelmarin.

Polis turut merampas dua kotak dan satu beg kertas mengandungi 25 balang biskut berasaskan ganja seberat 7.35 kilogram (kg) dan 53 kek juga berasaskan ganja seberat 5.3 kg.

Manakala suspek kedua pula, polis menahan seorang wanita di sebuah residensi di PJ Midtown, Jalan Kemajuan, Petaling Jaya jam 6.30 petang, pada hari yang sama.

Hasil serbuan tersebut berjaya merampas 131 balang biskut berasaskan ganja seberat 35.9 kg dan 41 kek berasaskan ganja seberat 4.3 kg. Sebanyak lapan ketulan mampat ganja seberat 7.82 kg, empat periuk berisi cecair ganja seberat 31 kg, dua ketuhar elektrik, serta satu mesin pengadun dan peralatan membuat kek dan biskut turut dirampas.

Siasatan awal mendapati pasangan kekasih tersebut menyewa kediaman terbabit RM3,000 sebulan sejak lapan bulan lalu dan dipercayai aktif menjalankan kegiatan penghasilan dan pengedaran biskut dan kek berasaskan ganja di sekitar Lembah Klang sejak lima bulan lalu.

Pasangan terbabit menggunakan modus operandi dengan mendapatkan bekalan dadah jenis kanabis dan seterusnya memproses sendiri dadah itu untuk dicampur sebagai bahan mentah kek dan biskut.

Setelah itu, produk-produk tersebut dipasarkan dengan harga RM100 bagi sebalang biskut dan RM50 bagi satu biji kek yang mana pelanggan mereka terdiri daripada kenalan rapat suspek pertama di Instagram.

Sumber Gambar: NST

Asisten Komisioner Sahar Abd Latif menyatakan jumlah keseluruhan rampasan adalah 156 balang biskut berasaskan ganja dianggarkan seberat 43.2 kg, 94 biji kek berasaskan ganja (9.6 kg) dan lapan ketulan mampat ganja (9.6 kg) serta 31 kg cecair ganja dengan nilai keseluruhan RM229,299.

Hasil rampasan dadah ini didakwa mampu menampung penggunaan seramai 79,071 orang pengguna dadah.

“Kita turut merampas wang tunai RM11,790 dan sebuah kenderaan jenis BMW X3 bernilai RM250,000 dengan nilai keseluruhan rampasan RM491,089,” tambah beliau lagi.

Hasil ujian saringan awal air kencing pula, didapati suspek pertama positif dadah jenis ganja, manakala teman wanitanya didapati negatif dadah.

Suspek pertama ditahan reman enam hari bermula semalam hingga 13 September ini manakala suspek wanita direman tujuh hari hingga 14 September ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan, lapor Berita Harian.

Sebelum ini seorang remaja berusia 18 tahun menggunakan BMW 6 Series hasil pengedaran dadah bersama ayahnya. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

Miliki Kereta BMW Pada Usia 18 Tahun, Rupanya Beli Guna Wang Edar Dadah

Taktik Dua Beranak ‘Tunda’ Toyota Alphard Gagal, Rupanya Berisi Dadah Bernilai RM23.75 Juta

16 Tan Dadah Bernilai RM5.2 Bilion Dirampas, Terbesar Dalam Sejarah Malaysia