Pasangan daredevil dari Rusia, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau terkenal sebagai pasangan yang sukakan cabaran. Mereka kerap bergambar di puncak bangunan dan menara tinggi di seluruh dunia dan berkongsi hasilnya di sosial media.

Baru-baru ini, tular gambar Ivan dan Angela yang mendakwa mereka sudah berjaya menawan puncak menara Merdeka 118 dan berkongsikan gambar tersebut di laman Skyscraper City.

Ivan yang lebih dikenali dengan panggilan Beerkus berkata ‘beliau sudah berjaya panjat hingga ke puncak dan pemandangan di atas sana sangat menakjubkan’.

Gambar tersebut dipercayai telah diambil menggunakan dron selepas pasangan tersebut berjaya memanjat menara kedua tertinggi di dunia tersebut menggunakan tangga.

Komen Beerkus bersama ‘bukti’ beliau sudah berjaya tawan Merdeka 118

Beliau berkongsi gambar tersebut pada 26 Disember lalu dan gambar tersebut mula tular sejak semalam. Beerkus cuma berkongsikan gambar tersebut di laman Skyscraper City sahaja manakala gambar rasminya di Instagram tidak memaparkan gambar beliau berada di puncak.

“Merdeka 118 merupakan bangunan kedua tertinggi di dunia. Saya dengar banyak cerita tentang orang ramai yang cuma panjat bangunan ini secara haram. Menyedihkan apabila ada yang dimasukkan ke dalam penjara beberapa bulan kerana ditangkap. Banyak pintu tertutup dan kamera litar tertutup (CCTV) dalam bangunan ini membuatkan ia bangunan yang ‘mengiurkan’ untuk ditawan,” tulisnya.

Perkongsian tersebut menerima persoalan ramai terutamanya ramai yang mempertikaikan sistem keselamatan Merdeka 118 yang tidak kuat sehingga penceroboh boleh terlepas masuk ke dalam.

Mengapa gambar di puncak Merdeka 118 mungkin hanya suntingan oleh Ivan Beerkus


Menurut laporan portal Says, netizen yang ‘tajam matanya’ berkata gambar yang dikongsi Ivan besar kemungkinan palsu dan hanya suntingan.

Warna pakaian yang dikongsikan oleh Ivan dan Angela dalam salah satu gambarnya berbeza. Angela menyarung seluar berwarna merah dan pada gambar dia berdiri di atas platform, ia bertukar menjadi kelabu. Tidakkah melecehkan untuk menukar pakaian bila berada di atas sana?

Untuk pengetahuan, penulis merupakan antara rakan media yang dijemput untuk melawat tapak Merdeka 118 pada bulan Ogos yang lalu. Apabila ada netizen yang mempertikaikan pihak sekuriti ‘tidak buat kerja’ sehingga Ivan dan Angela terlepas memanjat ke puncak, penulis merasakan ia agak mustahil mereka boleh terlepas.

Untuk naik ke puncak Merdeka 118, anda perlu melalui security check yang ketat. Cuma mereka yang mempunyai pas sahaja mempunyai akses untuk naik ke atas dan beberapa laluan sahaja boleh digunakan. Bila berada di dalam Merdeka 118 pula, setiap individu perlu memakai vest keselamatan serta topi keselamatan.

Melihat Ivan dan Angela ‘bogel’ tanpa sebarang alat keselamatan ketika berada di puncak, pasti akan ada individu yang perasan dan menghalang mereka daripada berbuat demikian.

Lebih-lebih lagi gambar dirakam ketika pada waktu pagi/petang, bermakna bahagian observation deck di tingkat 115 dan 116 sangat sibuk dan ramai yang bekerja sewaktu itu.

Ditambah dengan majoriti pekerja di Merdeka 118 pula merupakan warga Asia dan tempatan, disebabkan mereka ‘orang putih’ pasti orang di sekeliling akan jadi lebih curiga jika menemui mereka di sekitar premis Merdeka 118.

Bukti video adalah lebih ‘kuat’ jika Ivan mahu membuktikan mereka benar-benar berada di puncak Merdeka 118. Sehingga artikel ini ditulis, Ivan masih tidak mengesahkan tentang kesahihan gambar yang dikongsinya di portal Skyscraper City.