Memiliki zuriat atau cahaya mata bukanlah nikmat yang mampu dirasai oleh setiap daripada kita dengan ada yang terpaksa menggunakan berbagai alternatif lain seperti mendapatkan rawatan berkos tinggi dan ada juga yang terpaksa mendapatkan anak angkat.

Mungkin bagi sesetengah orang, mendapatkan anak angkat adalah proses yang kurang rumit namun pendedahan yang dilaporkan Harian Metro yang memetik Bernama mendedahkan sebaliknya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Laporan itu mendedahkan terdapat  sindiket di media sosial yang menjalankan perkhidmatan menawarkan anak angkat kepada mereka yang berminat dengan harga yang sangat tinggi.

Bayaran yang dikenakan untuk seorang bayi boleh mencecah sehingga RM10,000 hingga RM20,000 dan pelanggan juga terpaksa membayar wang pendahuluan ataupun deposit bermula daripada RM2,000 hingga RM7,000.

Wang pendahuluan yang diberikan itu dikatakan berfungsi sebagai sagu hati kepada ibu kandung dan juga untuk menampung kos bersalin mereka di hospital swasta.

Walaupun prosesnya kelihatan sangat mudah namun laporan tersebut mendedahkan mereka yang pernah mencuba untuk mendapatkan anak angkat melalui media sosial ini terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Salah satunya adalah risiko untuk ditipu individu-individu yang bertindak sebagai orang tengah seperti dikongsikan Fizah (bukan nama sebenar).

“Sudah dua kali saya hampir nak dapatkan anak angkat, tetapi ibu kandung batalkan kerana mendapat tawaran yang lebih (tinggi) daripada orang lain.

“Saya jadi tertekan kerana semua barang keperluan bayi sudah dibeli, tetapi akhirnya ibu kandung enggan menyerahkan anaknya kepada saya kerana ada pasangan lain yang menjanjikan tawaran wang yang lebih tinggi,” katanya yang sudah lima tahun berkahwin dan belum dikurniakan cahaya mata.

Manakala seorang lagi pelanggan, Sima menceritakan bagaimana dia diarahkan membuat transaksi wang melalui bank dan ibu kandung tersebut enggan bersemuka dengannya.

“…tetapi saya bertegas mahu bersemuka dengannya bersama bayi itu…Dia paksa saya masukkan duit dalam akaunnya… bila bertegas saya disekat daripada menghubungi ibu kandung itu,” katanya yang nyaris rugi ribuan ringgit.

Menjelaskan kenapa mereka memilih untuk mendapatkan angkat melalui sindiket ini dan bukannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, kedua-duanya berkata proses yang perlu dilalui adalah lambat dan mereka tidak boleh memilih jantinya bayi yang dimahukan mereka.

Memiliki zuriat ataupun anak kandung adalah satu perkara namun memastikan kelengkapan yang cukup dan keselamatan mereka pula adalah satu perkara yang lain. Baca perkongsian kami sebelum ini yang menjelaskan kepentingan pemakaian baby car seat kepada anak-anak anda yang tersayang.  

Netizen Tekankan Pentingnya ‘Baby Car Seat’ Selepas Insiden Bayi Tercampak Dari Kereta

Wanita Ini Kongsikan Mengapa Malaysia Wajibkan Penggunaan ‘Car Seat’ Bayi Bermula 2020

Kerusi Keselamatan Bayi Wajib Dipasang Mulai 2020

Sumber