Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung, media sosial telah menjadi ‘alat’ utama parti-parti politik untuk mempromosi dan meraih sokongan undi. Bagaimanapun, didapati ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab memuat naik kandungan yang mencetus provokasi melampau sehingga menyebabkan salah faham di kalangan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Terbaharu menerusi ciapan @MCMC, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan ‘amaran’ bakal mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana penyebar kandungan berbaur provokasi dan berita palsu di dalam talian.

Pengerusi Iterim MCMC, Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din memaklumkan hasil daripada pemantauan yang dijalankan oleh pihak MCMC mendapati terdapat pengurangan dalam penyebaran berita palsu dan berbaur provokasi dalam talian berbanding dengan tempoh kempen semasa PRU15.

Dalam kenyataan itu juga ada memberitahu bahawa MCMC telah bekerjasama denga penyedia platform seperti TikTok dan Instagram yang bertindak pantas memadam 101 hantaran provokasi yang telah dilaporkan kepada kedua-dua platform media sosial tersebut.

“MCMC akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menular semula kandungan-kandungan lama yang telah diturunkan atau akaun yang telah dinyahhapus.

“Pasukan Petugas Siber Polis Diraja Malaysia (PDRM-MCMC) telah menerima sebanyak 36 aduan daripada orang ramai dan 20 daripadanya telah diselesaikan melalui tindakan administratif sama ada melalui penurunan kandungan dan penafian di portal Sebenarnya.my.”

“Sebanyak 12 kertas siasatan telah dibuka dan proses siasatan sedang dijalankan termasuklah mengenal pasti mereka yang terlibat,” petik kenyataan rasmi MCMC, hari ini.

MCMC menegaskan sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Badan kerajaan itu turut menyeru orang ramai agar menghormati perbezaan pandangan dan pendapat selain menerima kepelbagaian dan inklusiviti masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Sekiranya anda terjumpa kandungan baur hasutan, provokasi ataupun menghina agama, Institusi Raja dan perkauman, laporan insiden itu boleh dibuat kepada MCMC melalui portal Aduan MCMC, emel [email protected] atau membuat panggilan 1800-188-030; WhatsApp 016 2206 262. Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui Sebenarnya.my/salur.