Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bersedia untuk membentuk Kerajaan Perpaduan seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan di laman Twitter, beliau berkata bahawa parti bersedia untuk menyokong dan menjunjung titah tuanku bagi membentuk sebuah kerajaan gabungan dengan parti-parti yang berbeza prinsip dan perlawanan.

Baca Juga:

Bagaimanapun, UMNO meletakkan syarat bahawa Perikatan Nasional tidak boleh dibenarkan untuk mengepalai Kerajaan Perpaduan bagi memastikan sebuah kerajaan yang dibentuk kekal stabil dan makmur. Selain itu, beliau juga berkata ahli Majlis Tertinggi sebulat suara bersetuju untuk kekal menyokong Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengerusi Barisan Nasional dan presiden UMNO.

“MKT secara sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Barisan Nasional menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional bagi memastikan sebuah Kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.

“MKT juga bersetuju semua wakil-wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15, mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduan atau lain-lain benfuk Kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Barisan Nasional telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Perikatan Nasional untuk mendengar cadangan gabungan pimpinan Muhyiddin Yassin untuk kerajaan perpaduan. Ini selaras dengan apa yang dilakukan oleh BN sebelum ini bersama Pakatan Harapan.

Sejak dikeluarkan awal pagi semalam, kenyataan media ini telah menarik beberapa pandangan di media sosial. Sebahagian menyatakan ucapan terima kasih kepada UMNO. Manakala sebahagian lagi berteka teki dengan kenyataan yang dikatakan mempunyai dua maksud berbeza.

Pengguna media sosial mula berspekulasi bahawa maksud pertama kenyataan tersebut adalah UMNO bersedia untuk menyokong Pakatan Harapan dan mengangkat Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10. Maksud kedua pula, kata netizen, UMNO sedang cuba untuk melobi diri bahawa salah seorang wakil mereka duduk di kerusi Perdana Menteri.

Untuk rekod, PH memenangi 82 kerusi pada pilihan raya umum Sabtu manakala PN memenangi 73 kerusi, kedua-duanya jauh daripada majoriti mudah 112 yang diperlukan dalam 222 kerusi Dewan Rakyat.