Ikan Patin masak tempoyak. Rasanya hidangan ini sudah menjadi biasa, bukan lagi ‘rare’. Banyak restoran dan gerai-gerai makan menyajikannya. Harganya juga kebanyakkannya berpatutan. Namun kenapa masih ada sebilangan warga kota yang sanggup pergi jauh hingga ke pekan Temerloh semata-mata ingin menjamah lauk ini? Berbezakah rasanya? Lemak sangatkah ikannya? Ana Patin House, restoran yang terletak di Mutiara Damansara ini ada jawapannya.

Perkara yang pertama akan dapat dilihat apabila menjejakkan kaki ke pintu masuk restorannya ialah paparan harga Patin Masak Tempoyak yang dilekatkan pada dapur pemanas.

Dua jenis ikan patin yang dijual iaitu Patin Temerloh dan juga Patin Buah “Original”. Yang dinamakan ‘Patin Temerloh’ adalah ikan patin yang dibela di dalam sangkar manakala Patin Buah “Original” pula merujuk kepada ikan patin buah yang hidup liar di Sungai Temerloh. Harganya jauh berbeza, RM13 sepotong untuk Patin Sangkar dan RM35-45 untuk Patin Buah.

Apakah perbezaan antara keduanya? Untuk membuat perbandingan yang adil, kami memesan kedua-dua jenis ikan patin ini sebelah menyebelah.

Dari segi bentuk, memandangkan ianya sudah dipotong, tidaklah dapat kami bezakan melainkan warna kulit patin buah yang lebih kehitaman. Selain itu, pandangan dari atas tampak seiras serupa. Rasanya juga sukar untuk dibezakan kerana kedua-duanya langsung tiada rasa tanah, lumpur atau hanyir, Mungkin yang membezakannya sedikit, patin buah isinya agak pejal dan tidak terlalu berlemak jika dibandingkan dengan patin sangkar. Kagum juga kami bila patin yang memakan tumbuhan liar sama rasanya dengan patin yang diberi makan palet berprotin. Selain dari itu, tiada yang ketara. Apatah lagi bila sudah asyik dengan kelazatan gulai tempoyak yang pekat likat memikat. Memang terangkat kuahnya!

Itu perbezaan antara patin sangkar dan patin liar dari Sungai Temerloh. Apa pula bezanya kedua-dua patin tersebut dengan patin dari sungai selain Sungai Temerloh?

Sangat berbeza! Isi ikan patin dari luar Temerloh biasanya akan terasa tanah dan lumpur, selain penuh dengan lemak yang sangat berlendir. Untuk dimasak, perlu dibasuh dengan limau dan asam. Manakala Patin di Ana Patin House ini terbukti sebaliknya samada yang liar atau dalam sangkar kerana kedua-duanya berkongsi air sungai yang sama iaitu Sungai Temerloh yang dikatakan mempunyai kualiti air yang terbaik! Maka terjawablah kenapa peminat ikan patin sanggup memandu jauh ke Temerloh, kan?

Oh, kepada yang bukan peminat ikan patin atau bukan penggemar masak tempoyak, ikan-ikan lain dari Sungai Temerloh juga dijual seperti ikan kelah, jelawat, tenggalan, kerai, gerahak, baung serta udang galah – boleh dipesan untuk dimasak dengan masakan pilihan anda.

Bagi mereka yang tidak sukakan hasil sungai, lauk pauk biasa yang kebanyakkan masakan ala kampung juga sangat memikat selera. Anda pasti akan pulang dengan perut yang kenyang. Jangan risau!

Jadi, sama ada anda penggemar ikan patin atau tidak, atau baru nak cuba rasa, atau sememangnya penggemar hasil sungai yang eksotik, restoran ini adalah destinasi makan yang terbaik buat anda! Dan yang pasti buat kami ia lebih dekat dari pekan Temerloh!

Nama restoran : Ana Patin House
Alamat : No 50-1, Jalan PJU 7/16, Mutiara Damansara, 47800 PJ. (waze)
Waktu beroperasi : Selasa – Ahad, 11am – 7pm

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram