Temerloh merupakan sebuah daerah yang merupakan titik tengah Semenanjung Malaysia. Selain terkenal dengan pelbagai masakan dan lokasi, salah satu masakan yang menjadi ‘agenda’ wajib pelancong jika sampai ke Temerloh sudah pastinya Gulai Patin Tempoyak.

Sebenarnya Patin Tempoyak ini boleh dimasak oleh orang ramai tetapi terdapat keunikan rasa dan suasana jika anda menikmati sendiri masakan ini di tepi sungai Pahang.

Populariti masakan ini membuatkan orang ramai tertanya-tanya apa yang membuatkan masakan ini begitu unik sehingga membuatkan mereka berada jauh dari Temerloh sanggup singgah ke daerah ini untuk menikmatinya.

Pada kali ini, Faiz Azizan selaku warga Temerloh tampil dengan sebuah perkongsian berdasarkan percubaan beliau melibatkan 19 restoran yang menyajikan masakan Patin Tempoyak Temerloh.

Untuk pengetahuan, ikan patin di Temerloh terdiri daripada ikan patin yang diuruskan menerusi sangkar sungai dan terdapat juga ikan patin jenis liar. Sudah pastinya ikan patin liar yang lebih mahal serta sukar didapatkan antara yang menjadi rebutan ramai berikutan isinya yang enak.

Kemudian majoriti restoran di sini menggunakan tempoyak original diambil dari durian dan bukannya menggunakan ‘tempoyak campur’ iaitu tempoyak durian bercampur pisang.

Kombinasi ikan patin sungai yang lembut ditambah dengan tempoyak asli, pasti tiada tandingan. Namun begitu, ada beberapa hal yang ingin penulis minta anda untuk pertimbangkan sebelum memulakan misi pencarian masakan Gulai Ikan Patin Tempoyak yang enak.

Terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum memilih untuk menjamah di sesebuah restoran.

Parkir

Terdapat sesetengah kedai yang sesak dengan kereta dan ada yang parkir di tepi tepi jalan sahaja. Walaubagaimanapun, bagi mengelakkan kesesakan, anda boleh mengunjungi restoran tersebut pada hari bekerja atau selepas waktu Zohor.

Kemudahan Surau & Tandas

Umumnya, masjid bandar Temerloh dibuka 24 jam. Maka, bagi memudahkan pencarian, anda boleh sahaja Google ‘Masjid Besar Temerloh’ yang terletak di Bukit Angin, Temerloh.

Waktu Operasi

Biasanya kedai dibuka jam 11 pagi hingga petang tetapi ada juga restoran yang buka sampai ke 9 malam iaitu Gobang. Oleh itu, sekiranya keluarga anda mahu merasai gulai patin tempoyak temerloh pada waktu petang, masih sempat terus ke restoran tersebut.

Harga

Harga patin bergantung kepada jenis. Kalau yang murah mungkin diambil dari kolam tetapi jika harga seketul sehingga belasan ringgit, biasanya itu patin sangkar sungai.

Isinya enak dan ikan tersebut dijaga dengan rapi oleh pemilik sangkar. Jika kalian ada bajet lebih, boleh cuba patin liar pula tetapi harganya lebih dari RM60 seketul.

Tanpa membuang masa, ini senarai kedai patin yang ada di Temerloh . Sudah tentu sedap atau tidak bergantung kepada citarasa masing masing tetapi jika ditanya ke orang ramai, pasti ramai yang bersetuju gulai patin tempoyak di daerah Termeloh itu lengkap dan sempurna.

1. Selera Patin Bangau

Sumber: Eykin

Jadi kita mulakan dengan Kg Bangau terlebih dahulu. Biasanya kerap kumpulan konvoi motosikal atau rombongan singgah untuk makan di sini. Kelebihannya suasana kampung di tepi sungai dan pelanggan boleh merasa suasana makan di kampung halaman sendiri. Ringkasnya, anda boleh mencuba banyak restoran patin sepanjang jalan Kampung Bangau ini.

Sumber: Eykin
Sumber: Faris Nordin

Terletak di Kampung Bangau Tanjung, kedai ini menyajikan pelbagai jenis juadah tetapi utamanya sudah pasti Patin Tempoyak Temerloh. Tarikan utama Selera Patin Bangau adalah gulai patin yang enak dan suasana seperti makan di rumah kampung.

2. Saiful Gulai Masam

Restoran ini pula terletak di hujung kampung dan sukar dilihat dari jalan besar. Anda harus melalui jalan yang kecil untuk sampai ke restoran ini. Menariknya anda boleh makan gulai tempoyak patin yang enak sambil menikmati suasana tepi Sungai Pahang.

3. Kancil (Tepi Sungai)

Salah satu restoran yang luas dan mempunyai suasana di tepi sungai. Makanan juga lazat dan sering dipenuhi pengunjung setiap hari.

4. Pondok Patin

Sebenarnya Pondok Patin ini merupakan rumah banglo yang vintage dan dijadikan restoran. Di samping banyak juadah dihidangkan, pemilik restoran ini juga sangat ramah dan mengalu-alukan anda datang ke sini.

5. Atok Patin

Terletak di tepi sungai Pahang kawasan Lubuk Kawah, menyajikan hidangan utama patin tempoyak dan pais patin.

6. Koi De Tanjung

Berdekatan dengan Restoran Saiful Gulai Masam dan tarikan utama tentunya gulai patin, udang galah dan juga boleh makan tepi sungai.

7. Makan Makan Bangau

Jarang kita lihat orang kini melepak dan makan di bawah rumah kayu. Jika dahulu, di kampung, kita lihat orang menjadikan bawah rumah sebagai tempat istirahat sambil baring santai di atas buaian hammock.

Kedai ini unik kerana menjamu tetamu mereka untuk makan di bawah rumah. Tetapi anda harus lekas kerana parking terhad dan terletak di hujung Kg Bangau Tanjung.

Ini pula senarai restoran yang berada berdekatan dengan tol LPT Temerloh, anda boleh terus singgah ke sini.

8. Cwok Café

Sebuah restoran yang underrated pada pendapat saya. Kawasan makan yang redup di bawah pokok besar. Tanpa ragu-ragu, masakan di sini sangat sedap, cukup segala rasa dan lokasi kira kira 1km sahaja dari exit Tol Temerloh.

9. Gobang

Sumber: facebook gobang maju

Dahulu lokasi lama Gobang di bawah jambatan tetapi kini sudah berpindah ke lokasi baru yang tidak jauh dari highway. Kelebihan Gobang yang ialah, patin pais dan gulai tempoyaknya yang lazat, ada disediakan juga tandas dan tempat solat. Tambahan, tapak parking juga sangat luas.

Sistem layan diri di Restoren Gobang juga persis di IKEA. Anda sekadar tinggal lalu dan ambik lauk yang diinginkan.

10. Raja Kancil

Lokasi terletak di Kawasan Bukit Semantan. Juadah makanan juga enak dan parkir biasanya tidak menjadi masalah.

11. Along Catering

Sumber: facebook along catering

Paling mudah diakses kerana dekat dengan exit Temerloh. Keluar sahaja highway, belok kiri pasti akan nampak restoran ini. Lapangan parkir amat luas dan sesuai untuk rombongan juga.

Sumber: facebook along catering

12. Pak Usop

Sumber: Azim & Azrin

Kedai ini sudah lama beroperasi. Lokasinya di kawasan Majlis Perbandaran Temerloh tepi esplanade yang juga merupakan tapak Pekan Sehari Ahad. Kedai lama dan sudah pasti resipi asli turun temurun.
Di bawah pula senarai restoran yang berada di kawasan bandar Temerloh.

Sumber: Azim & Azrin
Sumber: Azim & Azrin

13. Kedai Patin Bangau Ori

Menurut khabar, pemilik kedai merupakan pemilik sangkar patin juga. Jadi sudah pasti patin yang dihidangkan sangat enak dan segar dari sangkar.

14. Pot Rodong

Tidak berada di kampung, restoran ini letaknya di bandar Temerloh. Kedai yang luas dan anda pasti selesa menjamu selera di sini.

15. Restoran Patin D’Jungle

Hampir dengan roundabout Bukit Angin, kedai mereka berdekatan sahaja dengan Jom Patin. Kalau nak merasa gulai baung, patin buah (liar) boleh cuba di sini.

16. Restoran Tok Gajah

Restoran ini sudah lama dan banyak lauk pauk yang menarik tersedia. Dikatakan ini merupakan cawangan Restoran Tok Gajah yang ke-2.

17. Restoran Angah Maju

Sumber: KH Lee

Restoran ini terletak di Kawasan kampung sedikit lain berbanding kedai makan yang lain. Lokasinya di kampung Pangsanam dan betul-betul terletak di tepi sungai. Setakat ini, gulai patin dan pais patin di sini juga sangat enak.

Sumber: KH Lee
Sumber: KH Lee

18. Sz Rahmah

Ada bajet lebih untuk menikmati patin liar ? Boleh cuba ke sini kerana di sini merupakan destinasi mereka yang ingin merasai kelainan isi ikan patin yang liar ditangkap fresh dari sungai.

19. Port Patin Padu

Kedai ini baru sahaja dibuka sekitar Ogos 2022, lokasi strategik di tepi sungai tetapi sedikit ke dalam kampung Bangau. Buat anda yang tak suka suasana sesak, boleh cuba di sini pula.

Namun, kedai lain juga sedap dan menarik untuk dicuba akan tetapi harus diingatkan merancanglah lebih awal supaya anda lebih selesa menjamu selera. Semoga perkongsian ini memudahkan anda yang mengidam Patin Tempoyak Temerloh.

Nota: Jangan lupa search waktu operasi menggunakan keyword restoran di Google untuk tahu waktu operasi atau boleh terus hubungi mereka untuk tempahan meja jika ada.

Berikutan gambar tular Azfar Heri yang tular menerima sejumlah besar pek Salted Peanuts MAS, Zarul Umbrella selaku bekas pramugara MAS tampil memberi respon terhadap isu ini.

Berlaku Pelanggaran SOP, Zarul Umbrella Respon Isu Gambar ‘Salted Peanuts’ Azfar Heri

‘Rasa Macam Ayam’ – Wanita Ini Kongsi Pengalaman Makan Kari Biawak Di Kuala Lumpur