Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Seorang penyelam amatur, Shlomi Katzin yang menyelam di perairan utara Israel, Haifa menemui sebilah pedang yang didakwa milik seorang pahlawan Knights Templar pada Perang Salib yang berlaku 900 tahun yang lalu. Difahamkan bahawa pedang, yang sekarang sudah ditutup dengan sisa laut muncul akibat daripada pergeseran pasir yang terjadi di perairan terbabit.

Lembaga Antiquities Israel (IAA) mengatakan setelah pedang itu dibersihkan dan dianalisis, IAA bercadang untuk mempamerkan pedang itu di depan umum dalam masa terdekat.

Perang Salib, yang bermula pada tahun 1095 dan berlangsung selama berabad-abad, menyaksikan golongan Kristian Eropah melakukan perjalanan ke Timur Tengah dalam usaha untuk merebut Yerusalem yang dianggap Tanah Suci dari tangan orang Islam.

Kobi Sharvit, ketua Unit Arkeologi Laut IAA, mengatakan pantai Carmel, di mana pedang itu dijumpai, memberikan perlindungan kepada kapal-kapal yang bertandang ke sana dari ribut yang terjadi di sepanjang pantai. “Situasi ini telah menyebabkan kapal dagang selama berabad-abad, meninggalkan penemuan arkeologi yang kaya,” katanya.

Para penyelidik menganggap pedang itu mungkin ada kaitan dengan kubu kuat tentera salib di Atlit. “Pedang itu berat kerana batu-batu yang melekat padanya dan juga kerana pedang besi dan besar… Ini bermaksud orang yang memegang pedang ini dan [bertarung] dengannya sangat kuat. Saya cuba membayangkannya di medan perang dengan semua perisai dan pedang,” katanya sebelum menyambung, “[Badan] dia semestinya dalam keadaan baik, mungkin mereka lebih besar dari kita hari ini tetapi pasti lebih kuat. Dan itu luar biasa.”

Knights Templar adalah pahlawan Kristian yang taat. Kumpulan ini dibina di Yerusalem antara tahun 1118 dan 1119 Masihi, setelah Perang Salib Pertama atau sekitar tahun 1096-1099. Tugas utamanya adalah melindungi orang Eropah yang berkunjung ke Tanah Suci.

Mereka terkenal di seluruh Eropah sebagai pasukan tempur elit. Mereka berada di pusat politik dan ekonomi Eropah dan mengambil bahagian dalam kempen ketenteraan Kristian di Tanah Suci selama hampir 200 tahun. Pada tahun 1312, Paus Clement V secara rasmi membubarkan Knights Templar.

3 jeneral perang Islam hebat dalam lipatan sejarah dunia yang anda patut tahu. Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.

3 Jeneral Perang Islam Hebat Dalam Lipatan Sejarah Dunia Yang Anda Patut Tahu

Anda Mungkin Suka