Seorang lelaki yang bercuti sakit sejak 2008 bertindak menyaman majikannya kerana gagal memberinya kenaikan gaji, lapor Lad Bible.

Ian Clifford yang bekerja di syarikat gergasi teknologi IBM tidak dapat hadir ke kerja sejak 15 tahun yang lalu.

Baca Juga:

Dia mula bercuti sakit pada September 2008 dan situasi kesihatannya kekal sama sehinggalah 2013 di mana dia merungut bahawa dia tidak menerima sebarang kenaikan gaji dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Sebelum ini, IBM dan Clifford mencapai ‘perjanjian kompromi’ di mana dia dimasukkan ke dalam pelan kesihatan syarikat bagi mengelak daripada dipecat.

Akibatnya, dia kekal sebagai pekerja dengan ‘tiada tanggungjawab untuk bekerja’.

Di bawah syarat pelan kesihatan syarikat, pekerja mempunyai hak untuk memperoleh tiga perempat daripada pendapatan yang dipersetujui mereka, Clifford telah menerima bayaran tahunan sebanyak £54,028 dan akan terus menerima bayaran tahunan sehingga dia berumur 65 tahun.

Bagaimanapun, Clifford menyaman majikannya kerana dia tidak berpuas hati bahawa jumlah itu tidak meningkat dalam dekad yang lalu, ditambah pula dengan keadaan inflasi yang semakin memburuk.

Pada Februari 2022, dia membawa IBM ke mahkamah tribunal atas dakwaan diskriminasi kesihatan, dengan dakwaan masalah kenaikan gaji.

Clifford mendakwa dia telah dilayan dengan tidak adil kerana dia tidak menerima kenaikan gaji sejak 2013.

Bagaimanapun dakwaan beliau ditolak oleh mahkamah tribunal dengan alasan bahawa pihak IBM telah memberi beliau ‘faedah yang besar’ dan menerima ‘layanan yang baik’.