Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi memulakan lawatannya ke Malaysia. Apa yang menariknya kali ini, jadual lawatan Jokowi bersama dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah melawat ke tempat-tempat yang menjadi tumpuan rakyat Indonesia mencari rezeki.

Antara kawasan-kawasan tersebut adalah Kampung Baharu dan Chow Kit yang sudah menjadi tempat persinggahan untuk rakyat Indonesia hadir bekerja apabila sampai ke Malaysia. Kawasan ini juga terkenal dikalangan rakyat Malaysia kerana selalu dipenuhi dengan warga asing dari pelbagai negara.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dalam satu video klip yang tular dan dimuat naik oleh Buletin FM, lagu kebangsaan Indonesia bergema dan dinyanyikan oleh kebanyakan rakyat Indonesia yang bekerja di Pasar Raja Bot, Chow Kit. Kelihatan sebahagian daripada mereka mendabik dada sambil menyanyikan lagu tersebut, sebahagian lagi memperlihatkan raut wajah terharu.

Selain itu, Harian Metro pula melaporkan bahawa laungan nama Jokowi turut bergema ketika Presiden Repuklik itu sampai ke perkarangan pasar tersebut. Menurut laporan itu ketibaan Jokowi dan Anwar pada kira-kira 12.30 tengah hari disambut dengan laungan ‘bapa jokowi’ oleh pekerja Indonesia di sana.

Seorng peniaga di Pasar Chow Kit yang ingin dikenali sebagai Asri, 39, berkata beliau sebagai anak kelahiran Indonesia berasa gembira dan bangga dengan kehadiran Jokowi di pasar berkenaan dan menyifatkan Presiden Indonesia itu sebagai mesra rakyat.

“Bukan mudah untuk berjumpa dengan Bapak Jokowi tetapi saya bersyukur kerana rezeki saya dapat berjumpa dengannya secara fizikal walaupun dari jauh sahaja,” katanya kepada Harian Metro yang menyebut bahawa kawasan tersebut kini sudah dikenali sebagai ‘Little Jakarta’ kerana didominasi oleh rakyat Indonesia yang bekerja dan tinggal di sana.

Untuk rekod, kali terakhir Jokowi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia adalah pada Ogos 2019, selepas dilantik semula bagi penggal kedua menerusi Pilihan Raya Presiden pada 17 April 2019.

Pada 2022, Indonesia merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dan kedua terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM130.14 bilion (US$29.55 bilion) iaitu peningkatan sebanyak 36.5 peratus berbanding RM95.31 bilion (US$22.98 bilion) pada tahun sebelumnya.