Dakwaan dianiya, ditindas termasuk dipukul oleh seorang bekas pekerja restoran daun pisang terkenal telah mendapat fokus media di India dan Kementerian Sumber Manusia di sini.  Pekerja yang dikenali sebagai Velayuthan mendakwa bahawa dirinya dan rakan sekerja telah menerima layanan kejam dari bekas majikan termasuk disimbah petrol dan dibakar.

Memetik laporan berita Free Malaysia Today, dia yang menceritakan pengalaman ngeri ketika bekerja di restoran berkenaan kepada saluran YouTube Behindwoods Air memberitahu orang ramai bahawa beliau menyaksikan sendiri bagaimana rakan sekerjanya yang dibakar dengan petrol kerana mengungut untuk membongkarkan kes pencabulan seksual oleh majikan ke atas pekerja restoran. Mangsa malah dipaksa berbohong ketika dibawa ke klinik bahawa kecederaan itu disebabkan letupan gas silinder di restoran.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Pendedahan ini telah mendapat fokus daripada Menteri Sumber Manusia, M Saravanan. Ketika ditemubual oleh program yang sama, beliau memberitahu bahawa pihak berkuasa telah menyerbu restoran itu dan menahan seorang individu untuk tujuan siasatan. Saravanan turut menyatakan bahawa pihak polis kini sedang menjalankan siasatan atas dakwaan yang melibatkan aspek jenayah manakala majikan yang didapati melanggar undang-undang buruh boleh didakwa di mahkamah.

Velayuthan adalah seorang lelaki dari Pudukkottai, Tamil Nadu. Beliau tiba di Malaysia pada 2018 dengan harapan untuk bekerja sebagai tukang kayu. Tetapi apabila diyakinkan oleh seorang ejen untuk bekerja di restoran berkenaan buat sementara waktu, dia bersetuju. Selama bekerja di sana, beliau mendakwa bahawa tidak pernah menerima gaji secara langsung daripada majikan. Beliau turut memberitahu bahawa mereka dipaksa bekerja dari 5 pagi hingga tengah malam setiap hari. Jika ada daripada mereka yang enggan berbuat demikian, mereka diugut akan dipukul atau dibunuh.

Setelah tidak berpuas hati dengan layanan buruk ketika bekerja di restoran daun pisang terbabit. Velayuthan kemudiannya melarikan diri dan bekerja di sebuah ladang, tetapi nasib yang sama menimpanya apabila tidak dibayar gaji selama bekerja di sana. Beliau kemudiannya berhijrah ke tapak binaan di Seremban dan disana Velayuthan hanya menerima gaji sebanyak RM1,000 untuk kerja selama enam bulan.

Pengalaman sedih dan kecewa ketika bekerja di Malaysia akhirnya ditamatkan pada 30 Mei apabila beliau berjaya kembali ke India. Sebelum pulang, Velayuthan telah melancarkan kempen media sosial bagi memohon bantuan dari rakyat India bagi membiayai kos penerbangan pulang dari Malaysia ke India.

‘Modern slavery’ di Malaysia, majikan lapor pekerja asing ke Jabatang Imigresen untuk elak bayar gaji. Klik pautan di bawah untuk membaca.

‘Moden Slavery’ Di Malaysia, Majikan Lapor Pekerja Asing Ke Jabatan Imigresen Untuk Elak Bayar Gaji

Pekerja Warga Asing Di Klang Kena Kurung, Majikan Hanya Bayar Gaji RM10 Sehari

Dokumentari Ini Papar Realiti Sebenar Pekerja Warga Asing Di Syarikat Top Glove Malaysia