Sejak wabak COVID-19 mula menyerang dunia, kumpulan anti-vaksin makin galak tumbuh berkembang. Kebanyakan daripada mereka dengan terang menyatakan akan menolak suntikan vaksin walaupun vaksin tersebut sudah menunjukkan kemajuan, baik dari segi keberkesanan mahupun keselamatan.

Tidak mahu perkara ini terjadi, Amerika Syarikat dilaporkan akan mengeluarkan kewajiban untuk menyuntik vaksin dan menurut CNBC, mereka yang tidak mahu disuntik vaksin akan berisiko dipecat dari pekerjaan mereka.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Beberapa syarikat di sana sudah mula melaksanakan dasar khas mengenai vaksin wabak COVID-19. Kebanyakan syarikat difahamkan sedang mempertimbangkan untuk memecat pekerja yang menolak vaksin.

Keengganan untuk menerima vaksin COVID-19 di AS adalah tinggi. Mereka adalah terdiri daripada kumpulan anti-vaksin yang menyuarakan keraguan mereka terhadap keberkesanan vaksin.

Bagi mereka, penghasilan vaksin yang sangat cepat bakal mencetuskan ketakutan terhadap kesan sampingan. Manakala sebahagian daripada golongan ini lebih mempercayai teori konspirasi daripada pakar perubatan.

Untuk rekod, AS memerlukan sekitar 70 peratus populasi penduduk yang divaksin atau mempunyai antibodi semula jadi untuk mengakhiri pandemi. Bagaimanapun, melalui tinjauan Pusat Penyelidikan Pew, empat dari sepuluh rakyat AS mengatakan bahawa mereka akan menyuntik atau menolak disuntik vaksin COVID-19.

Rogge Dunn, seorang peguam daripada Dallas mengatakan bahawa pelanggannya dari syarikat makanan dan minuman mula menerapkan dasar khas untuk mewajibkan suntikan vaksin. Katanya, pekerja yang diberi vaksin dapat menstabilkan perniagaan yang tergendala semasa wabak.

“Di bawah undang-undang, majikan dapat memaksa pekerja untuk divaksin, dan jika mereka tidak menerimanya, mereka boleh dipecat,” kata Dunn, seperti dikutip oleh CNBC.

“Syarikat juga boleh memberi maklum balas kepada para pelanggan, ‘Hei, restoran kami selamat. Semua pekerja kami telah diberi vaksin. “” Dia menambah.

Buat masa ini, Dunn menasihati pelanggannya untuk menunggu sekurang-kurangnya selama tiga bulan sehingga populasi besar telah diberi vaksin. Sementara itu, beberapa perniagaan yang diwakili oleh Dunn sedang mempertimbangkan dasar khas terbabit.

Bagaimanapun, peraturan kewajiban mengambil vaksin COVID-19 di AS tidak termaktub kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan. Dalam kes ini, majikan mesti menyediakan segala keperluan, seperti tempat tinggal atau membenarkan pekerja bekerja dari rumah.

Difahamkan, proses pengambilan vaksin di Amerika sedang menunggu lampu hijau dari syarikat Pfizer dan BioNTech. Oleh itu, kewajiban mengambil vaksin mungkin harus menunggu lebih lama sehingga FDA menyelesaikan keseluruhan proses kelulusan vaksin Pfizer dan BioNTech.

Situasi di Malaysia

Kumpulan anti vaksin tidak hanya tumbuh di Amerika Syarikat. Di Malaysia juga kita sudah dihidang dengan kumpulan ini. Mereka mula menyuarakan pendapat mereka dan melawan hujah pakar dengan teori konspirasi.

Mohd Nizar Zakaria, Ahli Parlimen Parit pada 17 Nov lalu pernah menyuarakan kebimbangan beliau mengenai golongan yang menolak vaksin COVID-19.

“Apa yang menjadi kegusaran saya apabila belum pun lagi vaksin ini diperolehi, wujud gerakan golongan antivaksin yang cuba mempengaruhi rakyat untuk menolak vaksin yang bakal diperolehi nanti,” katanya seperti dilaporkan oleh MalaysiaKini.

Gerakan antivaksin digerakkan oleh golongan yang menolak penggunaan vaksin, antaranya menggunakan media sosial, dengan fahaman bahawa vaksin mengandungi bahan yang tidak selamat.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula pada 5 Jun yang lalu menyatakan kemungkinan akan mewajibkan suntikan vaksin COVID-19 kepada semua, sekiranya ia ditemui, lapor Astro Awani.

Bercakap kepada media, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bahawa besar kemungkinan KKM akan menetapkan dasar untuk mewajibkan pengambilan vaksin.

Namun, KKM hanya akan mewajibkan jika vaksin tersebut menunjukkan keberkesanan dan tiada kesan sampingan vaksin sebelum diberi kepada rakyat Malaysia.

Untuk rekod, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sehingga kini, Malaysia telah menandatangani dua perjanjian yang memberi jaminan menerima bekalan vaksin sebanyak 30 peratus daripada jumlah populasi negara.

Terdahulu, golongan anti-vaksin telah menuduh doktor menipu, tidak percaya vaksin mampun ubati COVID-19. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Anti-Vaksin Tuduh Doktor Menipu, Tidak Percaya Vaksin Mampu Ubati COVID-19

Kumpulan Anti-Vaksin Tidak Setuju Dr Zulkifli Dilantik Sebagai Menteri Hal Ehwal Agama

Gara-Gara Mahu Wajibkan Penumpang Ambil Vaksin, Qantas Airways ‘Diserang’ Golongan Antivaksin