Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Jika ditanya siapa yang mahukan duit, semua akan akan menjawab ya. Tetapi berapa ramai yang mahu berusaha mendapatkannya? Apa tindakan yang dibuat untuk mendapatkan duit tersebut?

Ada yang berniaga di tepi jalan, membuka kedai, membuka syarikat, dropship, berniaga online dan sebagainya.

Ya kita tahu bahawa 9/10 pintu rezeki itu adalah dari perniagaan. Sejujurnya membuka perniagaan bukanlah mudah.

Bagaimana kita orang-orang biasa ini boleh memiliki bahagian dalam syarikat dengan pendapatan yang besar dan bertaraf antarabangsa.

Mustahil? Dengan pelaburan saham, kita mampu memiliki sebahagian daripada syarikat-syarikat konglomerat ini.

Ini merupakan apa yang saya pelajari sebagai seorang yang baru mengorak langkah dalam pelaburan saham mengenai pelaburan saham setelah menghadiri Seminar Labur Saham yang telah diadakan secara percuma (Anjuran bersama Asri Ahmad Academy, Bursa Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah, PPZ, Bank Islam Malaysia) pada 15/10/16 yang lalu di Kuala Lumpur:

1. Ilmu

Jangan terburu-buru beli kaunter itu dan ini tanpa sebarang ilmu. Itu dinamakan judi!

Ya, saham ini ada untung dan rugi, dah namanya perniagaan. Namun dengan ilmu, kita mampu buat analisa (sama ada fundamental mahupun teknikal) untuk mengurangkan risiko kerugian dan yang penting bagaimana untuk melabur secara sah, mudah dan patuh syariah.

Kita boleh belajar dengan membaca buku, pergi ke seminar, belajar dengan broker ataupun remiser dan sebagainya.

Kena rajin research. Duit kita, kita sendiri yang uruskan.

2. Melabur guna dana lebihan

Dana lebihan atau idle fund bermaksud duit yang kita sanggup rugi 100%. Ini mengikut kemampuan kita.

Jangan sesekali melabur (untuk saham mahupun pelaburan yang lain) dengan berhutang!

Jika belum cukup dana, perlu menyimpan dahulu.

3. Tidak memerlukan dana yang banyak

Orang kita selalu mempunyai persepsi bahawa melabur saham ni hanyalah aktiviti orang-orang kaya.

Tahukah anda bahawa sekarang ni, amaun minima untuk melabur (1 lot) adalah 100 unit sahaja berbanding 1000 unit dahulu) dan harga seunit saham syarikat ada yang 50sen, 15 sen, malah rendah dari itu pun ada.

/h4>4. Semua orang boleh – jika ada usaha

Yang hadir menceritakan kisah mereka melabur dalam saham ada yang tua, ada yang muda, ada yang sepenuh masa, ada yang separuh masa, ada artis, ada yang kekurangan anggota namun mereka boleh melakukannya.

Saya rasa bagai ditampar-tampar. Rasa tercabar.

5. Pelaburan jangka masa pendek & panjang

Ramai yang menyangka pelaburan saham ni kena menghadap tengok carta 24 jam. Kalau sepenuh masa ia memang boleh.

Tapi kalau separuh masa, ada pelaburan jangka masa panjang. Contohnya, kaunter Ajinomoto, pada akhir 2012 harga seunit adalah RM3.18. Sekarang? sekitar RM13!

Bak kata Tuan Haji Asri, skim cepat kaya pun, pulangannya tak banyak macam tuh beb! Itu belum termasuk dividen yang diberikan setiap tahun.

6. Salinan IC, penyata bank dan RM10.60

Ini sahaja yang diperlukan untuk membuka akaun CDS (Central Depository System) sebagai langkah pertama untuk membuat pelaburan.

Yang hadir pada hari tersebut lebih dari 1000 orang. Rasa bangga tengok ramai yang ingin melabur.

Bagi mereka yang berada di negeri lain selain Kuala Lumpur, bolehlah melawat laman web/ Facebook Asri Ahmad Academy untuk maklumat lanjut.