Tidak seperti mahawiswa lain yang runsing memikirkan tentang pekerjaan selepas tamat pengajian, Muhammad Ziyad Mohd Yazid pula sudah memiliki sebuah syarikat, GetMove Sdn. Bhd, yang bernilai RM1 juta.

Pelajar berumur 23 tahun itu menjalankan perniagaan menguruskan perkhidmatan penghantaran barang atau ‘runner’ yang dijenamakan sebagai ‘GetRunner’, melalui syarikatnya itu.

Namun beliau tidak keseorangan, penuntut tahun akhir Fakulti Sains Sosial Gunaan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu mengasaskan syarikat tersebut bersama dua lagi rakan iaitu Khairul Ikhwan Zulkefly dan Wan Muhammad Amirul pada tahun lalu.

Sumber: Bernama

Beliau yang mendapat ilham untuk menubuhkan syarikat tersebut berdasarkan pengalaman beliau menjadi ‘runner’ sejak tahun pertama di universiti itu setelah melihat ramai rakan tidak mempunyai pengangkutan bagi melakukan pelbagai urusan.

“Pada waktu itu ramai rakan tidak mempunyai kenderaan, jadi saya yang mempunyai kenderaan ini menolong mereka menyelesaikan pelbagai urusan seperti membeli makanan dan menghantar barang. Dari situ saya terfikir yang potensi dalam bidang ‘runner’ ini sangat besar. Jadi saya pun serius mengatur langkah untuk membuka syarikat ini.” katanya kepada Bernama.

Tambah beliau lagi, GetRunner merupakan sebuah platform menghubungkan para ‘runner’ dengan pelanggan yang memerlukan pelbagai jenis perkhidmatan, termasuk penghantaran makanan dan barang, pembayaran bil serta penghantaran ‘surprise‘.

Setakat ini, GetRunner sudah beroperasi di tujuh daerah di Terengganu dan di Kulim, Kedah serta Kota Bharu, Kelantan dengan mempunyai 107 ‘runner’.

Sumber: Bernama

Antara matlamat utama Muhammad Ziyad mengasaskan perniagaan seumpama ini adalah membantu masyarakat termasuk pelajar dan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk menjana pendapatan secara fleksibel dan mudah.

Pemuda berasal dari Shah Alam, Selangor itu menganggap dirinya bertuah kerana memperoleh geran hasil menyertai pertandingan keusahawanan dan ia dijadikan modal untuk membuka syarikat tersebut. Selain itu, beliau turut menerima pelaburan daripada beberapa individu.

Tambah Muhammad Ziyad, selain membangunkan aplikasi GetRunner bagi telefon pintar pada Februari 2020, beliau dan rakan-rakan mahu meluaskan perkhidmatan di setiap satu daerah pada setiap bulan bermula tahun depan.

Walaupun sibuk dengan perniagaannya, beliau tidak pernah mengabaikan pelajaran dan sentiasa cemerlang dalam peperiksaan malah menerima Anugerah Dekan setiap semester.

Selain itu, beliau juga dianugerahkan dengan Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2018 atas sumbangan dan penglibatan aktif dalam pelbagai kelab dan persatuan termasuk mengasaskan Kelab Keusahawanan UniSZA pada tahun pertama pengajiannya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan servis yang ditawarkan oleh GetRunner ini, anda boleh pergi ke laman Facebook mereka untuk mengetahuinya.

Turut disertakan video temu bual pengasas GetRunner bersama Bernama.

Terdahulu, seorang pelajar UiTM berjaya cipta sejarah apabila berjaya skor markah penuh dalam ujian perakaunan dunia. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.

Pelajar UiTM Ini Berjaya Cipta Sejarah, Skor Markah Penuh Dalam Ujian Perakaunan Dunia

Bukan Hanya Sekadar Gimik, Netizen Puji Keramahan Dan Peribadi Pemandu Bas Rapid KL Ini

Atlet ‘Breakdance’ Sumbang Pingat Emas Di Sukan SEA Manila 2019 Tarik Perhatian Ramai Pihak