Mendapatkan capaian internet yang bagus demi menyertai sesi pembelajaran tatkala pandemik ini bukanlah satu perkara yang mudah. Malah kita sering mendengar mengenai perkara ini dilaporkan di media utama dan juga perkongsian di media-media sosial.

Kisah-kisah dan perkongsian mengenai mereka ini sering membuatkan kita kagum dengan semangat yang ditunjukkan seperti apa yang dilaporkan berlaku kepada tiga pelajar dari Ranau, Sabah ini yang mengalami kecederaaan selepas terjatuh daripada jambatan gantung ketika sedang mengakses internet.

Menurut laporan Harian Metro, sambungan internet di kawasan berkenaan difahamkan agak teruk dan penduduk kampung sering berkumpul di kawasan jambatan gantung berkenaan untuk mendapatkan capaian yang lebih baik.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 9 malam Isnin lalu, ketiga-ketiga pelajar berkenaan kurang bernasib baik apabila jambatan gantung berkenaan runtuh sehingga menyebabkan kecederaan dan salah seorang daripada mereka mengalami patah kaki.

Kejadian berkenaan disahkan sendiri oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kundasang.

Menurut beliau, jambatan gantung berkenaan merupakan satu-satunya kawasan yang mempunyai isyarat sambungan Internet dan ianya berada di ketinggian kira-kira 18 meter dari sungai.

Malah, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Ulu Sugut, Ratimin Kukunu menjeaskan semua mangsa berada di tengah jambatan untuk mengikuti kelas dalam talian sebelum jambatan gantung itu tiba-tiba runtuh.

“Sambungan Internet di Kampung Gusi ini memang teruk.

“Bagaimanapun, ia lebih baik pada waktu malam di kawasan jambatan gantung,” katanya.

Berkumpul di kawasan jambatan gantung itu difahamkan merupakan antara aktiviti biasa yang dilakukan penduduk kampung terutamanya pelajar untuk mendapatkan capaian Internet.

Datuk Dr Joachim bagaimanapun menjelaskan akan ke kampung berkenaan untuk menilai keadaan dan mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk membaiki jambatan itu.

“Kita berharap penduduk kampung dapat bersabar kerana kita berusaha menyelesaikan masalah ini,” katanya yang seperti dipetik Harian Metro.

Baca juga perkongsian kami yang lain mengenai perkembangan semasa dalam negara melalui pautan di bawah. 

Pengeluaran Wang KWSP Sebanyak RM10,000 Diperluaskan Kepada Semua Pencarum Yang Terjejas

Dijanjikan Wang ‘Percuma’ Dengan Mudah, Ramai Kongsi Tertipu Dengan Skim Isharefans

Muncul Dakwaan Merogol Gadis, Pendakwah Selebriti Telah Ditahan Polis Semalam

Sumber