Sebahagian dari anda pastinya telah menonton video yang telah tersebar di facebook tentang lelaki ini mengajar Bahasa Melayu kepada anak-anak kecil Syria yang comel itu.

https://www.youtube.com/watch?v=1KBPRKSjZIk&feature=youtu.be

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baiklah, kami sebenarnya mahu kongsikan pula kisah penuh di sebalik video ini.

Video ini diambil di sekolah yang ditubuhkan oleh sekumpulan mahasiswa Malaysia di Irbid, Jordan dan menyediakan pendidikan percuma kepada anak-anak pelarian mangsa peperangan Syria.

Manakala lelaki di dalam video tersebut ialah Rashdan Razlan, pelajar Tahun 3 Perubatan di Jordan University of Science and Tech (JUST), juga merangkap pengetua dan tenaga pengajar di sekolah tersebut.

Saudara Rashdan sedang mengajar anak-anak kecil Syria ini

Sekolah ini ditubuhkan dan diuruskan oleh dua entiti pengurusan berbeza iaitu Malaysia Arab Cultural Society (MACS) dan TFTN For Syria (Teach For The Needs Syria). Kedua-dua NGO ini dikendalikan oleh mahasiswa Malaysia di Jordan sehingga kini telah berjaya memberikan peluang pendidikan kepada anak-anak Syria yang berusia antara 4 – 14 tahun.

Sekolah yang dimulakan pada 29 Julai 2014 ini, tertubuh atas kesedaran dan rasa tanggungjawab mahasiswa proaktif ini yang melihat kesan peperangan dan berempati dengan pelarian dari Syria yang saban hari meningkat di Jordan.

Pelarian-pelarian perang ini menghadapi pelbagai masalah hidup dan antaranya adalah dari segi pendidikan. Ramai anak-anak pelarian perang ini tidak ke sekolah walaupun telah disediakan oleh pihak United Nation dan kerajaan Jordan atas pelbagai isu dan sebab. Sekalipun bagi mereka yang ke sekolah, situasi tidak kondusif sangat menjejaskan tahap pembelajaran mereka.

Tanpa banyak bicara sekumpulan mahasiswa ini mengambil inisiatif mereka sendiri dengan menghulurkan bantuan dan penyelesaian kepada masalah ini dengan harapan ia dapat membantu merubah masa hadapan anak-anak kecil ini.

Saudara Ishak Assoufei, yang mengetuai NGO TFTN For Syria sedang mengajar anak-anak murid beliau

Sekolah ini menyediakan kelas Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Agama, Seni dan ada ketikanya, Bahasa Melayu seperti yang anda lihat di dalam video tersebut. Manakala tenaga pengajar pula terdiri daripada sukarelawan-sukarelawan mahasiswa Malaysia di Jordan dan beberapa orang guru berbangsa Arab yang dibayar oleh kedua-dua NGO tersebut.

MACS yang diasaskan dan diketuai oleh Saudara Amir Ridzwan bin Azman, yang juga pelajar Perubatan di Jordan University of Science and Technology, bertindak memfokuskan usaha mereka bagi menguruskan tadika yang beroperasi dari hari Ahad hingga ke hari Khamis setiap minggu.

Manakala TFTN for Syria, yang diketuai oleh Saudara Ishak Assoufei, pelajar tahun akhir jurusan Pengajian Syariah Islam di Universiti Yarmouk, pula beroperasi memberikan kelas tuisyen kepada pelajar sekolah rendah dan menengah bawah pada hujung minggu – bagi memastikan anak-anak pelarian perang ini tidak ketinggalan di dalam pelajaran mereka.

Walaupun kos asas operasi mereka menelan RM 3100 (620 JD), mereka mampu menyediakan pendidikan secara percuma dengan bantuan daripada 58 orang mahasiswa yang secara komited menyumbangkan RM50 (10 JD) setiap bulan dan selebihnya dana operasi mereka datangnya dari NGO induk TFTN For Syria, iaitu TFTN (Teach For The Need), NGO yang bertapak di Malaysia dan diketuai oleh Zul Fikri Zamir.

Bagi anda yang ingin mengikuti lanjut perkembangan sekolah tersebut, anda bolehlah like page Facebook mereka di laman Facebook Malaysian Arabian Cultural Society  dan laman Facebook TFTN For Syria 

Oh ya, lukisan mural yang cantik di dinding-dinding sekolah tersebut juga dihasilkan oleh mahasiswa pelajar Perubatan dan Pergigian di Irbid.

Bagi yang ingin menderma bolehlah samada menghubungi mereka di link di atas ataupun terus ke menghubungi Saudara Amir Ridzwan di akaun Whatsapp beliau yang bernombor +962779335427.

Like Facebook kami di The Vocket