Pelajar Malaysia yang dimaksudkan ini ialah Lanida Dahlan yang baru berusia 14 tahun telah menjadi juara bagi dua kategori iaitu ‘standard’ dan ‘rapid’ bawah 14 tahun berkumpulan dalam Kejohanan Peringkat Umur Catur Asia Tenggara kali ke-18 di Kuantan, Pahang.

Dia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Muadzam Jaya, Pahang telah bersaing dengan 600 peserta daripada 10 buah negara, termasuk peserta China dan Australia yang hadir sebagai negara jemputan dalam kejohanan yang telah berlangsung selama sembilan hari itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Lanida, Orang Asli suku Jakun menjadi semakin bersemangat untuk muncul sebagai Grandmaster catur pertama negara pada masa hadapan. Menurutnya menerusi Berita Harian, ia tidak mustahil sekiranya dia diberi kepercayaan dan tunjuk ajar selain perlu banyak menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa sebelum layak terima pengiktirafan tertinggi Organisasi Catur Dunia (FIDE).

Mengimbas kembali permulaan Lanida dengan catur, seusia lapan tahun dia sudah mula berjinak dengan sukan ini. Selepas itu dia menyertai persatuan catur sekolah dan bermain secara konsisten. Lanida mula serius menyertai beberapa kejohanan ketika di sekolah menengah.

Bermain catur antara tiga hingga empat jam sehari, anak sulung daripada empat beradik turut menerima pujian daripada jurulatihnya, Safri A Razak:

“Sesiapa yang berusaha gigih dan melakukan yang terbaik dia akan ke depan… ini dibuktikan Lanida yang bukan sahaja pernah mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan, malah kini meletakkan dirinya sebagai jaguh di Asia Tenggara,” katanya.

Selain Lanida, 8 remaja Orang Asli berusia antara 10 dan 16 tahun dari Rompin telah menyertai kejohanan yang dianjurkan oleh Asean Chess Academy dan Persatuan Catur Pahang. Turut merangkul pingat perak dan dua gangsa dalam kejohanan yang sama ialah Veronica Mahdan, 16, dan Erni Sharira Yusri, 15. Tahniah buat tiga remaja Malaysia ini!