Nik Farah Ellisha Mohd Razif, pelajar perubatan dari sebuah universiti tempatan telah mendakwa bahawa dirinya dilarang menduduki peperiksaan kerana beliau belum menerima suntikan vaksin COVID-19. Dia sebelum itu terlebih dahulu memaklumkan kepada pihak universiti bahawa dia memilih untuk tidak mahu menerima suntikan vaksin, lapor MalaysiaGazette.

Namun pelajar berusia 22 tahun itu memberitahu media bahawa pihak universiti telah mendesaknya untuk mendapatkan vaksin jika mahu menduduki peperiksaan. Dia yang tidak mempunyai banyak pilihan bersetuju untuk mengambil vaksin jenama pilihannya sendiri dan memaklumkan perkara itu kepada pihak universiti pada bulan April lalu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Namun sejak April, dia tidak menerima sebarang tarikh temu janji untuk mendapatkan vaksin sehinggalah tarikh peperiksaan iaitu pada 8 Jun yang lalu dan apabila dia hadir untuk menduduki peperiksaan penting tersebut, pihak universiti telah melarang serta memintanya untuk meninggalkan dewan. Permintaannya untuk menduduki peperiksaan secara berasingan juga telah ditolak oleh pihak universiti.

Disebabkan kejadian terbabit, dia telah tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields sambil ditemani Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang mendesak agar insiden ini disiasat secara menyeluruh.

Nadzim memberitahu MalaysiaGazette bahawa dia memahami isu pelajar perubatan menolak untuk divaksin datang disebabkan beliau faham kebaikan dan keburukan vaksin terbabit. Sambil menambah, pihak universiti tidak sepatutnya memaksa para pelajar tetapi mencari jalan damai kerana ini melibatkan masa depan para pelajar.

Tular di Media Sosial

Berita yang tular sejak semalam ini telah mendapat perhatian netizen. Difahamkan bahawa pihak universiti telah mewajibkan suntikan vaksin disebabkan peperiksaan yang bakal diduduki itu melibatkan hubungan antara pelajar dan pesakit.

Perkara ini turut mendapat perhatian pegawai perubatan yang lain termasuk Dr Amirul Amzar di mana dia berkata bahawa peperiksaan perubatan melibatkan pesakit dan bila seseorang itu memilih untuk menolak vaksin, dia akan meletakkan risiko kepada pesakit yang terlibat dalam peperiksaan tersebut.

Dia turut menambah bahawa pelajar perubatan terdedah dengan risiko jangkitan sewaktu berada di kawasan klinik. Dengan menolak vaksin, risiko untuk dijangkiti akan menjadi lebih tinggi. Dan tindakan pihak universiti melarang beliau mengambil peperiksaan adalah disebabkan tanggungjawab universiti untuk menjaga keselamatan orang ramai.

Untuk rekod,  kerajaan Malaysia sebelum ini kekal dengan pendiran tidak akan mewajibkan pengambilan vaksin terhadap semua rakyat Malaysia. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata kepada Berita Harian bahawa vaksin belum lagi diwajibkan sebaliknya hanya disarankan dan pihak kerajaan belum ada usaha untuk mewajibkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Doktor ini kongsi video ‘keburukan’ vaksin dan saran tularkan di media sosial. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Doktor Ini Kongsi Video ‘Keburukan’ Vaksin Dan Saran Tularkannya Di Media Sosial

Perkongsian KJ Tentang ‘Side Effect’ Vaksin Dari China Selepas Disuntik Buat Netizen Terhibur

Asal Usul Teori Konspirasi Yang Mendakwa Bahawa Vaksin COVID-19 Dilengkapi Mikrocip