Denda di zaman sekolah adalah satu hukuman yang selalu diberikan oleh guru jika seorang murid itu gagal menyiapkan kerja yang diberi. Boleh kata, semua orang pernah rasa kena denda dengan guru, boleh jadi sebab kita tidak siapkan kerja sekolah atau terlalu nakal di dalam kelas. Tetapi pernahkah anda alami denda sehingga sakit tubuh badan anda?

Melalui laporan News Strait Times, satu kes dimana seorang pelajar tahun lima dipercayai retak lutut kiri selepas didenda ‘ketuk ketampi’ oleh gurunya selepas gagal datang ke sekolah. Menerusi makluman ibunya, Azlina yang berusia 36 tahun, pelajar terbabit gagal datang ke sekolah kerana cirit birit dan perkara ini sudah dimaklumkan kepada guru melalui mesej dalam kumpulan Whatsapp.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Difahamkan, sebelum kejadian ‘ketuk ketampi’, pelajar tahun lima tersebut pernah mengalami keretakan di lutut selepas terjatuh ketika bermain bola sepak tiga bulan yang lalu. Imbasan di klinik menunjukkan keretakan tulang yang jelas. Doktor juga telah menasihatkan pelajar tersebut supaya tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal yang berat.

Bagaimanapun, pada hari kejadian iaitu 18 Januari, pelajar tersebut yang masih belum sembuh daripada kecederaan lutut diminta untuk ketuk ketampi 30 kali. Dia yang tidak dapat menyelesaikan hukuman itu, mengadu kesakitan. Tetapi tidak diendahkan oleh gurunya, malah pelajar tersebut dituduh berbohong dan guru bertindak menumbuknya di bahagian dada.

Tidak lama selepas itu, pihak sekolah menelefon pihak keluarga dan meminta mereka untuk membawa pulang pelajar tersebut yang mengadu sakit di bahagian lutut. Ketika dijemput oleh datuknya, pelajar itu berada dalam keadaan teruk sehingga datuknya terpaksa mendukungnya ke arah motosikal.

Ibunya berkata dia kemudian membawa anaknya ke Hospital Tanah Merah pada 22 Jan dan doktor di sana merujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu yang mana dia perlu menjalani pembedahan.

Walaupun pihak sekolah sudah tampil untuk memohon maaf dan memberi wang sumbangan, pihak keluarga merancang untuk melaporkan kepada pihak polis bagi membuat persediaan menghadapi sebarang kemungkinan. Ini selepas terdapat khabar angin yang mendakwa bahawa pihak sekolah tidak dipersalahkan atas kejadian itu – sesuatu yang telah menyebabkan pihak keluarga kecewa, katanya.