Seorang pelajar lelaki berusia 24 tahun di Daerah Segamat, Johor cuba membunuh diri pada 17 April 2023 dengan membakar diri di sebuah stesen minyak.

Polis daerah Segamat dalam satu kenyataan berkata, mereka dimaklumkan mengenai kejadian itu sekitar jam 8 malam pada 17 April.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Polis dimaklumkan pelajar itu telah menyiram seluruh badannya dengan petrol dan menyalakan dirinya dengan pemetik api di sebuah stesen minyak di Jalan Ibrahim, Segamat.

Pemilik stesen minyak itu menyelamatkan pelajar itu dengan memadamkan api menggunakan alat pemadam api.

Video kejadian itu, yang telah tersebar dalam talian, menunjukkan api sedang dipadamkan.

Selepas api dipadamkan, polis berkata pelajar itu kemudiannya melarikan diri dan duduk di tengah jalan dalam satu lagi cubaan membunuh diri.

Seorang pemandu lori sempat memberhentikan kenderaannya tepat pada masanya untuk mengelak daripada merempuh lelaki tersebut.

Bagaimanapun, sebuah kereta di belakang hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang lori sehingga menyebabkan kemalangan.

Menurut polis, pelajar itu akhirnya dihantar ke Hospital Segamat melalui ambulans untuk menerima rawatan.

Seorang doktor mengesahkan bahawa kira-kira 70 peratus daripada badan pelajar itu melecur.

Dia kini masih berada di hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Siasatan awal mendapati pelajar itu cuba membunuh diri selepas dia gagal dalam peperiksaan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang buat kali ketiga.

“[Pelajar itu] malu untuk berdepan dengan keluarganya dan ini menyebabkan dia cuba membunuh diri,” kata polis.

Siasatan terhadap punca sebenar kejadian masih diteruskan.

Polis juga telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Di bawah Seksyen undang-undang ini, sesiapa yang cuba membunuh diri boleh dipenjara sehingga setahun, denda, atau kedua-duanya sekali.