Sejak akhir-akhir ini seringkali ungkapan ‘lakonan kayu’ atau ‘pelakon kayu’ diulang sebut; khususnya oleh peminat seni tanahair atau lebih mudah digelar penonton.

Mungkin perkataan ‘kayu’ itu merupakan satu kritikan yang agak kasar dalam memaksudkan apa yang cuba disampaikan. Cuma mungkin ia perlu dilihat dari aspek mana kritikan itu dibuat sehingga kesimpulan sekeras ‘kayu’ itu diberikan kepada pelakon.

Penonton umum menilai apa sahaja karya yang ditonton tanpa mengira apa genre pun secara mudah kerana karya tetap akan dianggap sebagai sebuah hiburan buat mereka.

Paling penting masa atau wang yang diperuntukkan untuk menonton itu berbaloi bagi mereka. Jadi kepuasan hiburan ialah tanda aras kritikan penonton umum termasuklah kualiti lakonan yang dipaparkan.

Dari kaca mata pengkarya, pengkritik, pengulas atau dari kalangan pelakon sendiri pula, mungkin apa yang dimaksudkan dengan lakonan ‘kayu’ itu lebih menyeluruh pada sisi seni cara lakon atau hal-hal teknikal yang dilihat melalui sudut pandang berdasarkan pengalaman atau dari ‘protokol’ dan method acting yang betul.

Amaran, nota ini mungkin di dalam sudut kerangka kefahaman yang bukan intelektual. Mungkin ia terarah lebih kepada bagaimana penilaian seorang penonton pada apa yang ditonton sebagai lakonan.

Sudah pasti nota ini ada telahan yang boleh disanggah dan dipersoal oleh mana-mana karyawan, pelakon malah sang penonton sendiri. Tetapi harus diingat yang sesiapa pun boleh jadi penonton, termasuklah seorang pelakon sendiri.

1. Bagaimana Seorang Pelakon Melihat Dirinya Berlakon?

“Lakonan realis bermain secara serentak dengan sekitaran, habitat dan kehidupan manusia. Ia lurus dan jujur bertindak balas dengan cabaran sekitaran dan kesukaran situasi,” Dr Anuar Nor Arai dalam komentarnya pada lakonan Khalid Salleh di dalam Jogho.

Sememangnya untuk memberi satu kesimpulan ‘kayu’ pada hasil dan mutu sesebuah lakonan mungkin disandarkan kepada pelbagai faktor. Antaranya citarasa, kualiti mahupun bersikap bias kerana setiap orang mempunyai tafsiran berbeza.

Namun secara umumnya, mungkin ‘kayu’ yang dimaksudkan lebih kepada hasil dan kualiti lakonan.

Lakonan kaku, mendatar, tak punya perasaan dan seolah hanya seperti membaca dialog dan kurang penghayatan akan lebih mudah dianggap lakonan ‘kayu’. Dan biasanya, pelakon baru akan lebih mudah dilabel ‘kayu’ dan dianggap sekadar menjual muka berbanding menjual bakat.

Saya mungkin lebih gemar santuni setiap usaha lakonan sang pelakon. Walau se’kayu’ mana pun lakonan pelakon itu, apabila dia mampu lontarkan dialog dan mampu meluahkan ekspresi emosi di hadapan sang pengarah, bagi saya itu tetap sebuah lakonan kerana itu memang tugas seorang pelakon.

Tetapi saya lebih gemar perbandingan ‘kayu’ begini:

Jika anda pernah menonton filem Mr Bean Holiday, ada satu watak pelakon level ‘Cannes Festival’ dilakonkan oleh Willem Dafoe bernama Carson Clay.

Ketika adegan filem berjudul Playback Time yang dilakonkan oleh Carson Clay muncul, kelihatan dia sangat berbangga dan terharu dengan lakonannya sedangkan penonton lain ada yang mula bosan dan mengantuk.

Tetapi oleh kerana dia ialah Carson Clay, maka penonton dalam pawagam itu tetap juga ‘meraikan’ Carson walau sebenarnya ia langsung tidak memberi ‘jiwa’ kepada penonton meskipun Carson menganggapnya begitu.

Sesungguhnya watak dan penonton berada di dalam dua dunia berbeza dan tugas pelakon ialah menjadi penghubung antara watak dan penonton. Jadi sememangnya keperluan bagi seorang pelakon berusaha untuk membina hubungan antara watak dan penonton. Tetapi adakah ia cukup sekadar itu?

Saya gemar mengambil contoh lakonan Tan Sri P. Ramlee di dalam filem Ibu Mertuaku (1962). Ada satu babak di mana kita melihat watak Kassim Selamat memainkan saxophone dengan penuh perasaan dan cukup penghayatan.

Dari sudut watak, kita akan lihat dan faham yang Tan Sri P. Ramlee membawakan watak Kassim Selamat bermain saxophone, tetapi yang menjadi jambatan hubungan antara Tan Sri P. Ramlee dan penontonnya ialah lontaran jiwa yang diberi.

Penonton yakin Tan Sri P.Ramlee benar-benar bermain saxophone di dalam filem itu sedangkan ia sebenarnya dimainkan oleh Yusuf B. Ini juga yang dilakukan Miles Teller di dalam Whiplash (2014) dan Pekin Ibrahim di dalam Rock Oo (2013).

Berdasarkan contoh ini, penting bagi pelakon meyakinkan penonton bahawa dia sedang benar-benar menonjolkan sisi sebenar jiwa watak yang dilakonkan.

2. Penonton Gemar Dengan Perbandingan

Pelakon ternama yang sudah terbukti bakat lakonannya juga menjadi mangsa perbandingan kerana sikap suka perbandingan itu adalah sikap semulajadi manusia termasuk penonton.

Perbandingan ialah cabaran yang akan dihadapi oleh mana-mana pelakon. Dari perbandingan juga akan melahirkan pengkelasan kualiti lakonan termasuklah kualiti ‘kayu’ itu sendiri.

Sudah pasti bukan mudah bagi seorang pelakon untuk membuat semua penonton berpuas hati dengan mutu lakonannya sepanjang masa. Halle Berry pernah dikecam kerana watak Catwoman (2004) selepas dia dijulang melalui filem Monster Ball (2001).

Kebiasaannya penonton akan membuat perbandingan lakonan pelakon itu pada naskahnya yang lain atau perbandingan adakah watak yang dilakonkan pelakon itu patut dilakonkan oleh pelakon lain. Hasil dari perbandingan sebegini akan menjadi penentu hala tuju ‘penarik’ sesebuah naskah itu.

Mungkin jika sisi perbandingan itu dibuat oleh penonton yang meminati Orson Welles, Akira Kurosawa dan Zhang Yimou, maka ia menjadi satu kritikan kritis dari sudut nilaian professional sebuah perbandingan.

Tetapi percayalah seorang makcik di kampung yang sedang melipat kain juga mampu memberi pendapat (perbandingan) walau tidak mengenali siapa Alfred Hitchcock kerana setiap orang punya citarasanya sendiri, bukan?

3. Ke’kayu’an Skrip Dan Watak?

To make a great film you need three things – the script, the script and the script.” Alfred Hitchcock.

Seringkali juga orang awam memberi komentar berkenaan skrip. Apabila sesebuah cerita itu gagal memberikan kepuasan dan kehendak, maka antara perkara pertama yang menjadi bahan kritikan penonton ialah skrip kerana skrip dianggap tunjang penceritaan.

Tetapi adakah skrip menyumbang pada kekayuan lakonan?

Mewakili penonton, saya mungkin beranalogi begini:

Skrip ialah sebuah cerita.
Pengarah ialah penyampai cerita.
Pelakon ialah pencerita cerita.

Mungkin ada yang mengatakan skrip watak juga memainkan peranan besar dalam menentukan kualiti lakonan, tetapi yang perlu dilihat ialah bagaimana pelakon itu menceritakan cerita yang ada pada wataknya.

Mungkin konotasi perkataan yang tepat ialah kemampuan pelakon terbabit kerana di dalam sesebuah naskah, tumpuan diberikan pada semua pelakon dan bukan pelakon utama semata-mata.

Jika ada dua pelakon yang menampilkan kualiti lakonan yang berbeza di dalam naskah dan pengarah yang sama, penonton akan nampak kehebatan pelakon yang one step ahead berbanding pelakon yang lain. Begitu juga sebaliknya jika pelakon gagal memberikan lakonan yang baik.

Bayangkan watak yang bagus dilakonkan oleh pelakon yang gagal menghayatinya mungkin akan menyebabkan penceritaan watak gagal dan seterusnya mengundang fake feeling dan ‘kayu’ pada watak tersebut. Tetapi watak yang biasa-biasa jika di tangan pelakon yang baik mungkin mampu jadi watak luar biasa.

Mungkin kerana itu David Fincher setia bersama Brad Pitt untuk beberapa filemnya. Mungkin tak mahu wataknya impiannya berada di tangan pelakon yang salah.

Ini bermakna klasifikasi ‘kayu’ pada sesebuah lakonan mungkin ada berkaitan dengan ‘kesilapan’ produksi sewaktu memilih pelakon kerana pelakon gagal menyelami jiwa watak akan turut memberi kesan ke atas penyampaian skrip.

Di dalam naskah wujudnya cerita, dan dalam cerita wujudnya jiwa. Jiwa itu yang mampu mengekstrak dialog di dalam skrip walau tanpa dialog kerana skrip hanya helaian kertas. Jiwanya ada di tangan pelakon untuk bereksplorasi dengannya.

Setuju saat menerima skrip, bermakna tanggungjawab pelakon itu untuk memberikan yang terbaik buat penontonnya.

4. Pelakon Tak Cuba Step-Up?

Saya gemar memetik kata-kata Diane Kruger, seorang model dan pelakon yang baru-baru ini memenangi Pelakon Wanita Terbaik di Cannes Film Festival melalui filem In The Fade:

“With modeling, you pose. You want to look your best all the time. With acting, you have to be aware of the camera, but the more you show your imperfections, the better you’re going to be.”

Bagi saya agak sensitif untuk mempersoalkan usaha pelakon. Mungkin agak dangkal, secara serkap jarang kita mengatakan yang pelakon itu malas atau asyik memilih watak yang sama sahaja kerana itu seolah-olah seperti satu tuduhan rambang pada attitude pelakon itu sendiri.

Potensi bakat lakonan mungkin lambat keluar dari kepompong ‘kayu’ sebelum beralih ke fasa peningkatan kualiti dalam lakonan. Ia juga berkaitan dengan soal rezeki pelakon apabila tawaran lakonan yang datang memungkinkan dia hanya statik dengan satu jenis watak sahaja meskipun sudah berlakon bertahun-tahun hingga memandulkan proses kematangan lakonan.

Cuma saya mungkin gemar mengambil contoh Maya Karin. Bermula dengan lakonan yang agak ‘kosong rasa’ di dalam filem No Problem sekitar tahun 2001, Maya Karin mampu berubah kepada seorang pelakon yang punya inner deep feeling di dalam Nota (2015).

Begitu juga Lisa Surihani yang sentiasa dalam kepompong watak sweet happy girl berubah menjadi psikotik di dalam Dendam Orang Mati (2014).

Ini menunjukkan bukan masalah kualiti lakonan tetapi kemahuan untuk keluar dari zon selesa akan menjadi percaturan yang akan mematangkan lakonan pelakon itu sendiri.

Ya, tidak dinafikan mungkin ada pelakon yang memasuki kelas lakonan intensif dan berguru dengan pelakon yang lebih senior tetapi pengalaman masih juga guru terbaik.

5. Populariti Dan Kualiti Bakat Pelakon

Baru-baru ini ada berita-berita sumbang di mana populariti menjadi ukuran bayaran berbanding kualiti lakonan. Situasi sebegini mungkin boleh dikatakan satu malapetaka untuk penonton tempatan.

Jujurnya, ini satu hal yang agak sensitif untuk dibicarakan kerana kelihatan seolah-olah mempersoalkan peluang serta tawaran rezeki yang diterima oleh pelakon.

Antara kualiti dan permintaan penonton, apa guna pelakon berkualiti jika tak ada sesiapa mahu tonton? Jadi diangkat pelakon berbakat amatur sebagai watak utama atas permintaan gelombang populariti semasa yang dicetuskan oleh peminat dan media massa.

Dari kaca mata seorang penonton untuk seorang pelakon, saya lebih gemar mengatakan yang ini soal kemahuan, hala tuju, mentaliti dan aras kualiti peribadi yang diletakkan oleh pelakon itu sendiri.

Untuk apa pening kepala memikirkan soal kualiti apabila lakonan ala kadar (atau kayu) tetap mampu memberikan bayaran yang lumayan kerana penangan populariti. Mentaliti ini salah dan bahaya kepada industri seni tempatan.

Saya gemar apabila Eman Manan mengatakan yang dia membaca novel Srengenge sebanyak tiga kali untuk menghayati watak Awang Chik. Saya tak tahu berapa bayaran untuk pelakon sesenior seperti beliau tetapi kesungguhan dia dalam cuba untuk memberi kualiti lakonan mungkin nilainya lebih tinggi dari bayaran yang diterima.

Saya juga kagum bagaimana Michael Fassbender, seorang bintang yang namanya mampu menjadi bahan tarikan untuk filem memberikan lakonan yang sangat mengesankan hingga kelihatan kurus dan tak bermaya membawa watak tahanan IRA yang mogok lapar di dalam filem Hunger (2009).

Saya nak penonton tahu yang populariti bukan tiket untuk seorang pelakon tak step up. Maksud saya, pelakon senior pun study watak kaw kaw (dengan bersungguh-sungguh), takkan pelakon baru study lebih kurang saja?

Namun apabila difikiran kembali, walaupun dikecam kayu, masih banyak siaran memaparkan lakonan kayu dan kaku kerana penampilannya masih mendapat permintaan tinggi.

Adakah kewujudan peminat lakonan ‘kayu’ di Malaysia terlalu ramai sehingga mengalahkan permintaan penonton yang mahukan lakonan berkualiti? Atau sememangnya penanda aras kualiti di mata penonton sudah semakin rendah?

Melalui skop yang lebih luas ia masih berkait pada citarasa. Kerana kita tak akan mampu memaksa orang benci apa yang kita benci dan sebaliknya menyukai apa yang mereka tak suka.

Kemasyhuran dan bayaran lumayan adalah hasil kerja lakon tetapi hasil kualiti masih dinilai oleh penonton. Untuk memuaskan hati semua penonton adalah tidak mungkin, tetapi untuk memberi lakonan yang berkualiti itu adalah tanggungjawab pelakon.

Penutup

Penonton mungkin tidak fikir tentang perkara-perkara seperti ini. Penonton hanya fikirkan apa yang mereka dapat dengan menonton sesebuah naskah. Kerana itu kebiasaannya, tanpa sedar masa yang akan ‘memaafkan’ kesalahan ‘lakonan kayu’ pelakon dan melihat sendiri ‘kayu’ itu mulai lentur menjadi agar-agar.

Bagi saya, menentukan ‘kayu’ atau tidak lakonan seorang pelakon itu bukan mudah. Kerana walaupun yang menonton itu individu yang buta perihal acting, penonton tetap tak akan buta dengan rasa. Kecualilah jika penonton itu hanya terikut apa orang lain kata tanpa menilainya sendiri.

Anggaplah istilah ‘kayu’ sebagai cabaran daripada penonton buat pelakon. Mungkin kecaman ‘kayu’ itu yang akan membuat anak tempatan berdiri di persada Cannes satu hari nanti!

Namun jika telah berlakon hampir 10 telemovie dan 10 filem tetapi masih juga dengan watak seakan sama dengan lakonan statik dan sederhana (apatah lagi jika pelakon itu pelakon utama), mungkin akan ada kata-kata nakal penonton yang akan menyarankan agar cukuplah berlakon dan jadilah duta untuk mana-mana produk.