Pengalaman saya mengendalikan kes jenayah berat yang jika disabitkan, boleh dihukum gantung sampai mati seperti kesalahan bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan mengajar saya satu perkara iaitu, PENYESALAN.

Namun penyesalan yang sudah terlewat.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kekesalan kerana membunuh.

Pembunuhan sudah berlaku, mangsa sudah mati.

Mula terbayang akan ditangkap polis, dikurung di dalam lock-up, ditahan di penjara, dibicarakan.

Jika bersalah akan dihukum gantung, dibawa ke bilik gantung, digari tangan, diserkup muka, dipakaikan tali gantung, dan bila dijatuhkan papan, tergantung-gantung di udara.

Sakitnya mati…

Maka mula terbayang wajah dan nasib; anak, isteri, ibu, bapa dan semua yang terkesan dengan perbuatan pelaku.

Sudah terbayang-bayang mimpi buruk yang akan ditempuhi beliau kelak.

Semasa itu kesalan yang teramat menghantui dan sebenarnya tiada apa yang patut dikesalkan. Benda sudah berlaku.

Maka dalam pertemuan saya dengan pelaku di penjara maka saya sering diajukan dengan soalan dari tertuduh:

Kenapa Tuhan ‘membenarkan’ pelaku melakukan perkara tersebut?

Kenapa Tuhan tidak menggagalkan rancangan pelaku?

Kenapa Tuhan tidak membuat sakit atau kemalangan atau hilang daya upaya untuk pelaku tidak melakukan perkara tersebut?

Tetapi Tuhan maha adil, tidakkah kita dikurniakan akal untuk berfikir? Untuk membezakan baik dan buruk?

Bila mendengar luahan perasaan anakguam saya di penjara, saya faham apa yang ada di dalam hadis dan kitab suci Al-Quran yang menyuruh kita mengawal kemarahan.

Muidin Maidin, pelaku dalam kes Dirang, selepas dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Utusan.
Muidin Maidin, pelaku dalam kes Dirang, selepas dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Utusan.

Percayalah bahawa ramai yang menyesal dan sangat menyesal di dalam penjara atas perlakuan yang mereka sendiri tidak ‘impikan’ namun kegagalan mengawal diri menyebabkan nasi sudah menjadi bubur.

Kemarahan ini tanpa dikawal akan membinasakan diri kita kelak.

Rasulullah bertanya kepada para sahabat, “Siapakah orang yang paling kuat di kalangan kamu?”

Maka para sahabat memberi berbagai-bagai jawapan.

Rasulullah lalu berkata,

“Bukanlah orang yang kuat itu orang yang banyaknya berperang (selalu menumpaskan orang lain). Sesungguhnya orang yang kuat itu adalah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah S.A.W juga bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang menggelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi (duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah).” (Riwayat al-Tirmidzi)

Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:

“Apabila seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wuduk. Maka sesungguhnya marah itu daripada secebis api.” (Riwayat Abu Daud)

Firman Allah lagi:

وَإِن تَعْفُوا۟ وَتَصْفَحُوا۟ وَتَغْفِرُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌ

“Dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Semoga kita menjadi manusia yang bersabar dan boleh mengawal kemarahan sebaik mungkin.

Juga pemaaf.

Sekian.