Tiada siapa sangka bahawa makanan budaya bagi Malaysia dan Indonesia iaitu rendang bakal menyebabkan seseorang bakal dihalau dari Australia. Tetapi itulah realiti yang dihadapi oleh salah seorang pelanjong Indonesia yang hadir ke negara kangaroo tersebut.

Menurut laporan media Indonesia, dalam salah satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pertanian dan Dalam Negeri Australia pada Ahad (30/10), penumpang yang tiba pada pertengahan bulan ini menjawab “tidak” ketika mengisi borang pengisytiharan apakah dia membawa daging, ayam atau lainnya.

Baca Juga:

“Penumpang itu tidak mengisytihar bahawa dia membawa 3.1 kilogram daging itik, 1.4 kilogram rendang, lebih 500 gram daging lembu beku, dan hampir 900 gram daging ayam di dalam begnya,” kata kenyataan yang diterima ABC Indonesia.

Sejumlah laporan media di Australia menyatakan penumpang itu adalah seorang lelaki dari Indonesia, tetapi ABC Indonesia masih menunggu pengesahan mengenai perkara ini daripada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Australia.

Akibat daripada pelanggaran ini, dia bukan sahaja didenda AU$2,700, atau lebih daripada Rp27 juta, malah turut dihantar pulang serta-merta. Mengikut undang-undang, pelancong yang visanya telah dibatalkan wajib meninggalkan Australia dengan segera dan perlu menunggu tiga tahun sebelum beliau dibenarkan untuk memohon visa ke Australia sekali lagi.

Bulan lalu, Kerajaan Australia di bawah Perdana Menteri Australia Anthony Albanese telah mengetatkan larangan membawa produk daging untuk kegunaan peribadi kerana bimbang terhadap penyakit kaki dan mulut (FMD).

Wabak FMD sebelum ini telah merugikan industri pertanian Australia sebanyak A$80 bilion dalam tempoh 10 tahun, menurut anggaran Jabatan Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Australia.

Oleh itu, Menteri Pertanian Murray Watt berkata produk daging yang dibawa penumpang adalah berisiko besar membawa penyakit kaki dan mulut ke Australia.

“Ini adalah kesalahan yang sangat serius dan orang terbabit telah dikenakan hukuman paling berat,” katanya.”Tindakan Pegawai Biosekuriti dan ABF sekali lagi diambil untuk melindungi warga Australia dan sektor pertanian kita daripada risiko biosekuriti yang berpotensi menyebabkan kerosakan teruk.”

Menurut Menteri Murray, setiap penumpang dan pengembara yang memasuki Australia mesti melaporkan makanan yang mereka bawa ke Australia “secara terbuka dan jujur” untuk pemeriksaan oleh pegawai biosekuriti di lapangan terbang.

“Jika produk itu dibenarkan masuk ke Australia, ia akan dipulangkan kepada orang berkenaan,” katanya. “Tetapi jika pendatang tidak melaporkannya, mereka akan ditangkap dan didenda.”