Suasana huru-hara berlaku di Ikea di Shanghai, China ketika pihak berkuasa kesihatan cuba mengunci kedai dan mengkuarantin mereka yang berada di dalam kedai. Ini berlaku selepas pegawai kesihatan mendapati bahawa pengunjung yang mempunyai hubungan rapat dengan pesakit COVID19 telah melawat tempat itu pada Sabtu lalu.

Di media sosial tular beberapa video yang menunjukkan para pelanggan mula menjerit dan cuba berlari keluar dari bangunan tersebut ketika beberapa pegawai kesihatan cuba untuk mengunci pintu selepas berita mengenai penutupan Ikea dibuat secara mengejut.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

25 juta penduduk Shanghai telah mengalami peraturan sekatan yang ketat dalam tempoh dua tahun lalu. Penduduk Shanghai sebelum ini turut dilarang meninggalkan rumah selama dua bulan pada musim bunga tahun ini. Sekatan-sekatan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menghapuskan wabak COVID-19.

Bloomberg melaporkan pada Isnin lalu bahawa Pihak Berkuasa Kesihatan di ibu kota kewangan China mengatakan telah mengenakan “langkah kawalan sementara” di Ikea Shanghai. Kawalan itu dijalankan selepas mereka mendapat tahu terdapat seorang pengunjung di situ yang mempunyai sejarah hubungan rapat dengan seorang budak lelaki berusia 6 tahun, yang dijangkiti COVID-19 tanpa gejala.

“Semua orang di Ikea dan kawasan lain yang terjejas perlu dikuarantin selama dua hari, dan kemudian menjalankan pengawasan kesihatan selama lima hari,” kata Zhao Dandan, timbalan pengarah Suruhanjaya Kesihatan Shanghai.

Dalam video yang tersebar di media sosial, satu pengumuman boleh didengar di dalam Ikea, yang meminta supaya pusat beli-belah ditutup serta-merta dan pegawai kesihatan perlu menghalang orang ramai daripada masuk atau keluar daripada premis tersebut.

Apabila pengawal keselamatan dan pekerja kesihatan dalam peralatan perlindungan diri cuba menutup pintu untuk menghalang orang ramai keluar, berpuluh-puluh orang menjerit dan menolak sesama sendiri.

Sebagai tindak balas kepada garis panduan pencegahan wabak, Ikea Shanghai Xuhui ditutup sementara pada 14 dan 15 Ogos, dan akan dibuka semula pada Selasa, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Mereka yang tidak berjaya keluar telah diminta untuk tinggal di dalam kedai buat sementara waktu, dari jam 8 malam hingga selepas tengah malam. Mereka kemudiannya perlu dipindahkan ke hotel kuarantin, menurut seorang pengunjung yang menyiarkan tentang pengalamannya di Doujin, versi Tiktok China.

Notis penutupan yang dikeluarkan secara mengejut ini adalah sebahagian daripada strategi China dalam membendung wabak COVID-19. Mereka yang berada di kawasan sekatan dilarang keluar tanpa sebarang notis. Perintah mengejut yang dikeluarkan itu telah menyebabkan banyak pihak mula panik dan tidak berpuas hati.

Sebelum itu, penduduk di hab teknologi Shenzhen, ibu kota wilayah Sichuan, Chengdu, dan pulau percutian Hainan dilaporkan telah memanjat pagar, berlari keluar dari bangunan pejabat dan keluar ke pantai selepas mengetahui bahawa sekatan akan dikenakan selepas terdapat kes wabak COVID-19 di sana.

Terdapat 2,312 jangkitan baharu dilaporkan di seluruh China setakat ini. Ia adalah kali pertama dalam tempoh lebih tiga bulan kes COVID-19 di China mencecah 2,000 selama tiga hari berturut-turut.

Mahu ‘lindungi’ bank daripada diceroboh, China guna kereta kebal halang penunjuk perasaan. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Mahu ‘Lindungi’ Bank Daripada Diceroboh, China Guna Kereta Kebal Halang Penunjuk Perasaan