Sesi makan di restoran yang sepatutnya menghilangkan lapar dan dahaga bertukar pengalaman tidak dapat dilupakan buat pelanggan ini.

Seorang pengguna Twitter, shahrulnizammm berkongsikan pengalaman buruk beliau yang singgah makan di satu cawangan nasi kandar popular di Negeri Sembilan.

Menurutnya, pergaduhan tercetus selepas dia dan ahli keluarganya mahu membuat bayaran untuk makanan ‘tidak seberapa’ yang dijamu kepada mereka oleh pekerja restoran berkenaan.

Menurut Shahrul, mereka tiba di restoran berkenaan sekitar jam 12.30 malam. Disebabkan tiada restoran lain yang dibuka, restoran tersebut adalah satu-satunya pilihan yang ada. Namun, alangkah kecewanya mereka dengan apa yang diterima selepas pesanan sampai.

Menurutnya, nasi goreng serta megi goreng yang dihidang kosong tidak bersayur menyebabkan mereka rasa tidak berbaloi untuk membuat bayaran penuh untuk makanan yang dipesan.

Mereka perlu membayar lebih RM50 untuk makanan yang dipesan (3 nasi goreng kosong, 2 megi goreng tiada ‘isi’ dan 1 nasi lemak kosong bersama air). Apabila disuarakan perihal makanan yang serba kekurangan, harga yang perlu dibayar ditolak menjadi RM45.

Sebelum berlalu, ibu Shahrul telah memberi komen bahawa harga tersebut masih mahal dan tidak suka dengan harga tersebut. Secara tiba-tiba, ibunya disergah oleh penjaga kaunter membuatkan Shahrul marah dan menghempas kotak tisu kosong di kaunter.

Shahrul kemudiannya bertekak dengan pekerja berkenaan sebelum mendakwa dirinya di dipegang oleh 5 hingga 6 orang pekerja di situ dan kemudiannya dipukul oleh lelaki ‘gangster’.

Beliau turut mendakwa turut dipukul curi oleh pekerja yang memegangnya sehingga meninggalkan kesan luka di leher, bahu, tangan dan muka.

Selepas pergaduhan itu, beliau telah membuat panggilan kepada polis dan polis tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian. Ajaibnya, semua pekerja yang terlibat dalam pergaduhan tadi menghilangkan diri. Ketika membuat laporan polis di balai, polis bertugas turut berkata pekerja restoran berkenaan memang ‘bermasalah’ dan sudah ada kes yang sama berlaku sebelum ini.

Ketika di balai, pemilik restoran berkenaan tiba di balai dan lagaknya seperti sudah biasa, tidak takut dan mengenali anggota polis di situ.

Berkali-kali pihak restoran berkenaan mahu perkara itu selesai secara ‘settle tepi’ serta mahu ‘bayar ganti rugi’ kepadanya tetapi keluarga Shahrul menolak dan mahu insiden yang berlaku menjadi pengajaran buat restoran tersebut.

Selepas laporan dibuat, kertas siasatan telah dibuka. Shahrul berkata ketika menulis perkongsian ini, beliau sudah menjangka akan menerima pelbagai reaksi daripada netizen. Ada yang menyokong dan ada yang kata ‘kerana mulut badan binasa’.

Beliau tidak berharap semua akan berpihak kepada dirinya cuma Shahrul tidak mahu apa yang terjadi kepada dirinya berlaku kepada orang lain. “Ia bukan kerana wang, tetapi kejujuran dalam bisnes. Setiap duit yang saya buat adalah daripada titik peluh sendiri. Berapa ramai lagi yang akan tertipu tetapi diam sahaja?” tulisnya.

Beberapa netizen lain turut berkata servis di restoran berkenaan memang kurang bagus dan apabila ditegur, mereka tidak boleh terima.

https://twitter.com/Eykanini/status/1522222135112249344

Ketika ramai peniaga yang tutup kedai kerana sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan tiket untuk sesebuah restoran menawarkan servis atau hidangan yang tidak berkualiti. Semoga insiden ini jadi pengajaran buat semua.

Sebelum ini, satu pergaduhan tercetus di KB Mall kerana berebut pelanggan. Baca lagi pada pautan di bawah.

Berebut Pelanggan Jadi Punca Pergaduhan 2 Pekerja Kedai Telefon Di KB Mall

Dakwa Diugut Dan Diminta Wang Perlindungan, Pemilik Restoran Nasi Kandar Terkenal Buat Laporan Polis