Seorang pelawak Amerika Syarikat dengan nama Chrissie Mayr telah tampil mempertahankan rakannya Jocelyn Chia yang kini teruk dikecam oleh rakyat Malaysia. Dalam ciapan yang dimuat naik olehnya, Mayr menganggap jenaka yang dibuat oleh Jocelyn adalah hebat dan tidak perlu meminta maaf.

“Bukan tugas pelawak untuk mengelak topik tertentu yang mencetuskan sensitiviti, tugas mereka untuk menjadi kelakar. Jika anda tidak cukup kuat, jangan pergi ke kelab komedi atau dengar jenaka dalam talian,” katanya.

Baca Juga:

Kenyataannya itu bagaimanapun tidak mendapat reaksi yang baik dari rakyat Malaysia yang menganggap bahawa jenaka yang dibuat oleh Jocelyn itu tidak beperikemanusian. Manakala sebahagian lagi merasakan bahawa Jocelyn adalah seorang narsistik.

Terdahulu, Jocelyn dikecam rakyat Malaysia selepas perkongsian video dia membuat persembahan di Comedy Cellar, New York menjadikan insiden MH370 sebagai bahan jenaka.

Dalam masa yang sama, kerajaan Singapura memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan tindakan melampau pelawak yang dikatakan berasal dari negara itu.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, beliau sangat terkejut dengan komen-komen menyinggung yang dibuat oleh Jocelyn dalam sebuah pementasan komedi berdiri baru-baru ini, petik Astro Awani.

“Kerajaan Singapura tidak boleh menerima sebarang kata-kata atau tindakan yang boleh mencetus kemudaratan atau menyinggung perasaan orang lain dan Chia, yang tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura, sama sekali tidak mencerminkan pandangan kami.

“Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kata-kata yang menyakitkan daripada dia,” kata Vanu Gopala dalam satu kenyataan pada Rabu.